Arsenal pertimbangkan tawaran kontrak baru untuk Lacazette dan Aubameyang.

ARSENAL dilaporkan sedang menyiapkan tawaran kontrak baru bernilai sekitar £250,000 seminggu untuk gandingan Alexandre Lacazette dan Pierre-Emerick Aubameyang.



Penyerang Gabon, Aubameyang memenangi anugerah Kasut Emas Liga Perdana musim ini, berkongsi dengan duo Liverpool, Mohamed Salah dan Sadio Mane.


Bekas pemain Borussia Dortmund itu menjaringkan 22 gol dalam saingan teratas liga Inggeris tahun ini, dengan sembilan gol lagi dalam saingan Liga Europa dan Piala FA untuk menjadikan jumlah keseluruhan jaringan sebanyak 31 gol.

Manakala Lacazette pula menjaringkan 19 gol dalam kesemua pertandingan dan juga memiliki 13 bantuan gol.

Dan situasi tersebut menyaksikan The Gunners dilaporkan bersedia untuk mengikat mereka berdua untuk tempoh jangka masa panjang.

Menurut laporan Daily Mail, Arsenal sanggup mengeluarkan belanja sekitar setengah juta pound sebulan bagi mengekalkan duo berbisa itu di Emirates.

Aubameyang ketika ini memperolehi £190,000 seminggu, setelah menandatangani kontrak tiga tahun setengah apabila beliau dibawa masuk dari Bundesliga, Januari lalu (kontrak bakal berakhir pada Jun 2021).

Namun jumlah itu bakal meningkat kepada £250,000 seminggu pada musim panas ini dengan Unai Emery mahukan pemain tersebut diberikan kontrak baru dengan tambahan dua tahun.



Lacazette juga mungkin ditawarkan gaji yang sama, walaupun jumlah jaringan beliau sedikit kurang daripada pasangan beliau itu.

Walau bagaimanapun, penyerang Perancis itu dilihat sebagai bahagian penting pasukan kerana gandingan berbisa beliau bersama Aubameyang begitu berkesan.

Kontrak bekas pemain Lyon itu bakal tamat pada tahun 2022 bersama Arsenal dan itu tidak mungkin berubah, cuma kenaikan gaji sahaja kemungkinan berlaku.

Arsenal berhasrat untuk menyelesaikan tawaran kontrak terhadap dua pemain itu secepat mungkin, setelah reputasi sebelum ini tercalar kerana membenarkan pemain mereka terlepas dengan mudah (free agent) serta kehilangan beberapa pemain setelah gagal dalam rundingan pembaruan kontrak.

Pemain tengah, Aaron Ramsey bakal menjadi pemain Britain paling tinggi menerima gaji dalam sejarah apabila menyertai Juventus pada musim panas ini.

The Gunners sebelum ini telah membatalkan rundingan pembaruan kontrak tanpa sebab yang jelas pada musim luruh lalu dan membenarkan pemain kebangsaan Wales itu memasuki tahun akhir kontrak beliau di Emirates.

Sebelum ini, Arsenal berjaya mengekalkan pemain 'playmaker', Mesut Ozil dalam keadaan yang hampir sama, apabila menawarkan kontrak dengan bayaran £350,000 seminggu kepada pemain Jeman itu.

Arsenal juga kehilangan wang dengan Alexis Sanchez apabila pemain tersebut menyertai Manchester United dalam pertukaran pemain dengan Henrikh Mkhitaryan.

Sudah tentu Arsenal tidak mahu perkara ini berulang lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post