Bonus besar menanti setiap pemain Arsenal seandainya muncul Juara Liga Europa.

ARSENAL dilaporkan akan memberi ganjaran kepada setiap pemain berjumlah setengah juta pound jika berjaya menjulang trofi Liga Europa di Baku minggu depan.


Unai Emery dan pasukan akan menerima bonus wang tunai yang besar mengikut klausa yang terkandung dalam kontrak masing-masing berkaitan dengan memenangi trofi Eropah.

Menurut laporan, dipercayai bahawa setiap pemain akan menerima pembayaran bonus sebanyak £ 100,000 hingga £500,000 jika berjaya mengangkat trofi kontinental pertama semenjak memenangi Piala Pemenang Piala Eropah (European Cup Winners Cup) pada 1994.

Seandainya Arsenal bergelar juara, kelab bakal membelanjakan hampir £10 juta kepada pemain-pemain The Gunners bagi tujuan pembayaran bonus kemenangan itu.


Selain bonus menewaskan Chelsea di Azerbaijan menjadi rangsangan kepada para pemain dan pengendali Arsenal, kejayaan muncul juara juga memberikan rangsangan pada dana perpindahan Unai Emery pada jendela perpindahan ini.

Emery mempunyai bajet perpindahan yang dilaporkan hanya sekitar £40 juta pada musim panas ini, tetapi dengan memenangi Liga Europa, yang mana ianya akan menyaksikan Arsenal beraksi dalam Liga Juara-Juara musim depan, ianya juga akan meningkatkan jumlah itu dengan ketara.

Sementara itu, Arsenal dalam persiapan menghadapi perlawanan akhir Liga Europa, telah mengaturkan satu perlawanan persahabatan tertutup menentang kelab Austria, LASK Linz yang menduduki tangga kedua Liga Austria ketika ini.

Arsenal akan terbang ke Baku pada hari Sabtu, bagi menentang skuad Maurizio Sarri pada 30 Mei, jam 3 pagi waktu Malaysia.

Post a Comment

Previous Post Next Post