Milan dan Torreira, antara harapan ataupun angan-angan.

AC MILAN kehilangan pemain tengah bertahan, Tiemoue Bakayoko yang kembali ke Chelsea setelah menamatkan tempoh pinjaman.



Dan kekosongan posisi tersebut membuatkan kelab Itali itu perlu mencari pengganti baharu dan mengikut perkembangan terkini, mereka sekali lagi 'mengintai' Liga Perdana Inggeris.

TuttoMercatoWeb membawa kita kepada berita dimana pasukan Serie A telah mensasarkan pemain The Gunners, Lucas Torreira pada laporan yang dikeluarkan mereka semalam.

Bekas pemain Sampdoria itu baru sahaja menyertai Arsenal pada musim panas yang lalu dan juga baru merasai semusim saingan Liga Perdana Inggeris.

Tidak mengambil masa yang lama buat Torreira untuk menyesuaikan diri di Emirates, beliau pada musim pertama (2018/19) telah membuat 50 penampilan dalam kesemua pertandingan dengan dua gol berjaya dijaringkan beliau.

Dikatakan Torreira menjadi antara pemain pilihan Milan untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan  oleh pemain pinjaman Chelsea, Bakayoko, namun ianya sudah pasti sesuatu yang sukar dan mustahil buat mereka untuk mendapatkan pemain Uruguay itu, memandangkan pemain tersebut beraksi cemerlang dibawah Unai Emery.

Dan sudah tentu juga Arsenal tidak ingin melepaskan ataupun menjual pemain berusia 23 tahun dalam masa terdekat ini.

Torreira mempunyai kontrak bersama The Gunners sehingga 2023 dan TuttoMercatoWeb juga menjelaskan dimana pemain tengah bertahan itu tidak mempertimbangkan untuk kembali semula ke Itali dalam tempoh terdekat.

Pun begitu, laman web itu mengatakan ianya mungkin mampu menjadi 'sesuatu' dalam beberapa minggu akan datang, mungkin selepas Milan menyusun kembali barisan belakang tabir mereka, selepas Gennaro Gattuso dan Leonardo meninggalkan mereka.

Sukar buat kami mempercayai sekiranya Arsenal bertindak melepaskan Torreira pada musim panas ini.

Bagi kami..ianya adalah harapan dan angan-angan AC Milan mendapatkan Lucas Torreira.

Post a Comment

Previous Post Next Post