🎥: Iwobi kempunan, gagal bantu Nigeria ke final Piala Negara Afrika.

PEMAIN sensasi Arsenal, Alex Iwobi gagal membantu Nigeria untuk layak ke final  Piala Negara Afrika.


Jaringan menarik Riyad Mahrez menerusi sepakan percuma pada masa kecederaan meranapkan impian Iwobi untuk membawa Nigeria beraksi di pentas final.

Keputusan penuh perlawanan menyaksikan Algeria berjaya menewaskan juara tiga kali Nigeria dengan keputusan 2-1 dalam aksi separuh akhir di Stadium Antarabangsa Kaherah awal pagi tadi dan akan menentang Senegal pada aksi final.

Algeria mendahului pada babak pertama menerusi jaringan sendiri William Troost-Ekong pada minit ke-40 sebelum Nigeria menyamakan kedudukan selepas Odion Ighalo menjaringkan penalti pada minit ke-72.

Bagaimanapun, ketika perlawanan hampir menuju ke masa tambahan, Mahrez muncul wira Algeria apabila sepakan percumanya dari jarak 18 meter menembusi gawang Nigeria sekali gus berjaya membawa pasukannya mara ke final.

Kejayaan Algeria mara ke pentas final kali ini adalah merupakan kejayaan kali pertama sejak tahun 1990, yang mana mereka telah muncul juara pada edisi tersebut.

Pada perlawanan akhir nanti, Algeria akan menentang Senegal yang dijadualkan berlangsung pada 19 Julai.

Sebelum ini, pada peringkat kumpulan, kedua-dua pasukan telah bertembung dengan kemenangan berpihak kepada Algeria yang menewaskan Senegal 1-0.


"Kami sangat gembira mara ke final kerana ia sesuatu yang sangat istimewa,” kata Mahrez.

"Memang sasaran kami melakukannya demi rakyat dan keluarga kami. Kami tahu mereka sentiasa di belakang kami sepanjang masa dan ini jaringan saya yang paling penting buat skuad Algeria.

"Ya, menjadi impian saya untuk menjuarainya dan berharap kami dapat melakukannya."
Gol jaringan Mahrez yang membawa Algeria mara ke final.

Manakala Jurulatih Nigeria, Gernot Rohr pula mengakui Algeria lebih berhak memenangi perlawanan tersebut walaupun menghampakan peluang skuad kendalian beliau untuk beraksi di pentas final buat kali kelapan.

"Saya perlu mengucapkan tahniah kepada pemain yang memberi tentangan sengit kepada pasukan hebat ini.

"Mereka memenanginya pada saat akhir dan Algeria memang berhak ke final. Sepakan percuma yang hebat membezakan keputusan perlawanan.”


Highlights perlawanan

Post a Comment

Previous Post Next Post