5 Perkara Anda Perlu Tahu Mengenai Reiss Nelson

Nama Reiss Nelson tidak asing di kalangan peminat setia Arsenal, yang sudah menjadi bualan mereka sejak mula bermain di bawah pengurusan Arsene Wenger lagi.

Debut pertama beliau ketika kemenangan 1-0 ke atas Chelsea dalam perlawanan Charity Shield pada tahun 2017.



Reiss juga bermain perlawanan pertama Premier League (PL) musim ini, kemenangan 1-0 ke atas Newcastle United pada Ahad lepas di Stadium St James Park, penampilan ke-13 beliau untuk kelab dalam semua kejohanan setakat ini.
Pemain sayap lincah ini diramalkan boleh menjadi pemain yang bagus untuk kelab di masa depan, dan di sini dikongsikan lima perkara mengenai pemain kelahiran London ini.

1. Menyertai Arsenal seawal usia 8 tahun

Reiss Nelson sudah bersama kelab sejak 11 tahun dahulu, dan cepat meningkat naik dalam setiap pasukan remaja Arsenal. Dan usaha gigihnya ini mendapat perhatian Arsene Wenger, yang menghadiahkannya dengan kontrak profesional pertamanya pada hari jadinya yang ke-17.

BIODATA RINGKAS REISS NELSON

Nama: Reiss Luke Nelson
Tarikh & tempat lahir: 10 Disember 1999, London
Warganegara: England, Zimbabwe
Posisi: Pemain sayap
Kontrak profesional pertama: 23 Disember 2016


2. Menang anugerah Pemain Terbaik Premier League 2 musim 2017/18

Beliau memainkan peranan penting membantu skuad bawah 23 tahun Arsenal memenangi Premier League 2 musim 2017/18, menjaringkan sembilan gol dan membuat tiga bantuan gol dalam hanya 11 perlawanan untuk memastikan Gunners menjuarai liga dengan beza dua mata mengatasi Liverpool.

Corak permainannya yang pantas dan konsisten membolehkannya dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Premier League 2.



3. Pemain ketiga termuda menjaringkan lima gol dalam sejarah Bundesliga

Reiss Nelson bermain sepanjang musim 2018/19 dengan kelab Jerman, Hoffenheim secara pinjaman, dan walaupun hanya membuat tiga penampilan PL, beliau pantas menjadi pemain sensasi di Bundesliga.

Beliau memenangi anugerah Rookie of the Month pada bulan November 2018, dan menjadi pemain ketiga termuda di belakang Lukas Podolski dan Olaf Thon, yang menjaringkan lima gol Bundesliga pada usia 18 tahun, 10 bulan dan 25 hari - 11 hari lebih tua berbanding rekod Podolski.


Pemain remaja ini menamatkan musim dengan menjaringkan tujuh gol dalam 29 penampilan dalam semua kejohanan.

4. Boleh mewakili Zimbabwe di peringkat antarabangsa

Menerusi keturunan bapanya, Nelson boleh mewakili Zimbabwe andai itu yang beliau inginkan.

Walaubagaimanapun, Nelson telah bermain dengan skuad remaja England di setiap peringkat dari bawah 16 hingga ke bawah 21.

Fakta: Hanya tiga pemain antarabangsa Zimbabwe pernah bermain di liga teratas England iaitu Peter Ndlovu, Bruce Grobbelaar, dan Benjani Mwaruwari.

5. Dicalonkan dalam senarai anugerah Golden Boy 2019

Prestasi memberangsangkan Nelson di Bundesliga telah menempatkan beliau dalam senarai panjang anugerah Golden Boy 2019; anugerah yang diberikan kepada pemain berusia 21 tahun dan ke bawah dan di liga teratas negara Eropah.

Bersama rakan-rakan Arsenalnya iaitu Matteo Guendouzi, Eddie Nketiah, dan Joe Willock, beliau tersenarai dalam senarai pertama 100 pemain, dan dipendekkan ke 80 nama yang dikeluarkan pada bulan seterusnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post