BARCELONA menerima tamparan hebat apabila hasrat mereka untuk mendapatkan semula khidmat Neymar bakal disailang musuh ketatnya, Real Madrid.
Menurut akhbar Sepanyol, Sport, Ketua Pegawai Eksekutif Real, Florentino Perez berazam untuk membawa bintang penyerang Brazil itu ke Santiago Bernabeu dan akan mengadakan rundingan dengan pemilik Paris Saint-Germain (PSG), Nasser Al-Khelaifi.
Laporan itu mendakwa, PSG kini terbuka untuk melepaskan Neymar secara pinjaman dan Nasser telah memberitahu Real bahawa mereka boleh mula berunding untuk mencapai perjanjian.
Neymar, 27, kini terdesak untuk meninggalkan Parc des Princes hanya selepas dua tahun menyertai gergasi bolasepak Perancis itu dengan perpindahan rekod dunia, £200 juta.
Hubungan Neymar dengan Nasser, barisan jurulatih dan pemain PSG kini tidak lagi harmoni selepas penyerang tersebut berulang kali menegaskan, dia mahu keluar dari kelab.
Namun menurut Marca, Timbalan Presiden Barcelona, Jordi Cardoner mengakui bahawa walaupun beliau mengetahui hubungan Neymar bersama PSG tidak lagi harmoni dengan pemain tersebut juga tidak gembira, namun beliau menegaskan bahawa pemain tersebut tidak akan menyertai Barcelona buat masa ini.
🗣️ — Jordi Cardoner (Barça vice-president): "Neymar is not happy at PSG, but at this time he will not join Barcelona." [marca] pic.twitter.com/d9SRLW0rcS— Barça Universal (@BarcaUniversal) August 5, 2019