Bekas penyerang Arsenal, Alexis Sanchez cemerlang menjaringkan satu gol dalam penampilan keduanya untuk Inter Milan ketika kemenangan 3-1 ke atas Sampdoria awal pagi tadi.
Namun, penglibatannya dalam perlawanan tersebut tidak lama setelah beliau dibuang padang selepas menerima kad kuning kedua kerana cubaan diving di dalam kotak penalti lawan.
Beliau terlibat dalam gol pembukaan perlawanan pada minit ke-20, selepas percubaannya dari luar kotak terkena belakang rakannya, Stefano Sensi lalu mengelirukan penjaga gol lawan, Emil Audero yang sudah tersilap langkah dan gagal menyelamatkan rembatan tersebut dari menerjah gawang gol.
Gol tersebut telah diberikan kepada Sensi, tetapi Alexis tetap dapat mencetak namanya sebagai penjaring gol dua minit kemudian.
Beliau dapat meloloskan diri dalam kotak penalti untuk menolak bola masuk dengan mudah untuk menjadikan kedudukan 2-0.
Penyerang antarabangsa Chile ini dibuang padang pada minit awal separuh masa kedua selepas dilihat sengaja menjatuhkan badan di dalam kotak penalti semasa mencuba untuk mendapatkan bola muntah yang ditepis oleh Audero.
Pengadil perlawanan, Gianpaolo Calvarese melihat jelas insiden tersebut dan terus mengeluarkan kad kuning dan disusuli dengan kad merah. Alexis sudah menerima kad kuning pertama di minit-minit terakhir separuh masa pertama.
Bermain dengan 10 orang pemain sedikit mengganggu taktikal Antonio Conte, dan kelihatan resah selepas Sampdoria berjaya menjaringkan satu gol menerusi Jakub Jankto.
Roberto Gagliardini melegakan pasukan pelawat apabila menjaringkan gol ketiga pasukan pada minit ke-61 untuk memastikan Inter berjaya memperoleh tiga mata penuh dan kekal sebagai peneraju liga, dua mata mendahului Juventus.
Alexis tidak akan beraksi dalam perlawanan penting pasukannya minggu hadapan menentang Juventus kerana digantung satu perlawanan.