BEKAS pengendali Chelsea, Antonio Conte mencipta rekod baharu kelab dengan menjadi pengurus Inter Milan pertama meraih lima kemenangan pertama dalam saingan Serie A.
Rekod tersebut dicipta beliau selepas berjaya menundukkan Lazio 1-0 malam tadi.
The Nerazzurri mengekalkan permulaan cemerlang hasil tandukan Danilo D'Ambrosio pada separuh masa pertama di San Siro sekali gus memintas Juventus di kedudukan teratas liga.
Conte yang menggantikan Luciano Spalletti pernah merangkul tiga kejuaraan Serie A bersama Juventus dan berharap dapat membawa Scudetto kepada Inter yang kali terakhir menjadi juara pada 2009-10.
Sanchez belum sedia
Sebelum perlawanan menentang Lazio, Conte menyifatkan Alexis Sanchez belum bersedia untuk berada dalam kesebelasan utama Inter Milan dan dia tidak akan membariskan pemain itu demi 'kepentingan sesetengah individu'.
Sanchez menyertai Inter secara pinjaman semusim dari Manchester United pada musim ini selepas gagal beraksi cemerlang di Old Trafford akibat masalah kecergasan.
Dia diturunkan pada 10 minit terakhir ketika Inter menang 1-0 ke atas Udinese tetapi gagal beraksi dari bangku simpanan semasa aksi Liga Juara-Juara menentang Slavia Prague dan Milan derby.
"Saya berikan kenyataan yang sama kepada pemain lain.
"Apabila saya lihat pemain sudah bersedia, saya akan masukkan dalam senarai kesebelasan utama.
"Saya meletakkan kepentingan Inter sebagai keutamaan bukan kepentingan individu," kata Conte.
Sementara itu, Conte gembira dengan barisan pemain sedia ada termasuk kehadiran beberapa muka baharu.
"Romelu Lukaku akan terus cemerlang di sini. Saya juga gembira dengan pemain tengah, banyak pilihan untuk pasukan.
"Apabila awak memulakan projek baharu, harapan adalah untuk ia kekal," katanya.
Sanchez semenjak menyertai Inter Milan, baru membuat 2 penampilan ringkas dengan jumlah minit keseluruhan hanya 17 minit ( 10 minit untuk perlawanan menentang Udinese dan tujuh minit untuk perlawanan malam tadi, menentang Lazio).
Sorotan perlawanan Inter 1-0 Lazio