Pochettino Resah Dengan Hutang Stadium

Mauricio Pochettino kini sudah merasa beban menanggung hutang stadium baru Tottenham Hotspur yang mula dibuka pada April lepas.

Dan menjelang perlawanan penting North London Derby pada hari ini, beliau sudah pasti tidak mahu disamakan dengan apa yang pernah dirasai oleh Arsene Wenger.


Arsenal sudah melalui fasa kesempitan wang untuk membeli pemain-pemain yang hebat selepas berpindah ke Stadium Emirates pada tahun 2006. Hutang stadium telah memaksa bekas pengurus Arsenal itu berjimat-cermat dalam pembelian pemain, di samping terpaksa menjual pemain-pemain utamanya.

Walaupun stadium baru Spurs itu antara yang terbaik di dunia dari pelbagai aspek, namun kos pembinaan juga antara yang termahal.

Kos pembinaan stadium ini mencecah £1 bilion. Tottenham perlu menghadap hutang lebih kurang £600 juta.

Pochettino berkata: "Lain kelab akan meminta £600 juta untuk dilaburkan ke dalam pasukan. Seperti Barcelona, atau kelab-kelab lain. Mereka berhutang untuk membeli pemain baru dan memastikan mereka boleh menang [untuk membayar hutang]. Kami pula adalah berbeza."

"Kami perlu mencipta legasi untuk masa depan. Buat masa ini, kami terpaksa merana kerana halangan-halangan ini, tetapi ini sangat normal. Kami perlu bekerja dengan lebih gigih untuk bersaing dalam liga yang sukar ini, menggunakan cara yang berbeza berbanding lawan-lawan kami

'Kami semua menangis,' tambahnya apabila ditanya adakah £600 juta boleh membuatkan sesetengah orang menangis.

'Hanya orang seperti Daniel Levy (pengerusi Spurs) mampu menguruskan keadaan seperti ini. Beliau dan badan pengarah mampu untuk mencipta situasi seperti ini dan memberikan kepada pasukan, kepada kami, kepada para peminat, projek besar ini kerana kami sebuah kelab yang besar.'

Levy telah meyakinkan para peminat bahawa beliau tidak akan menahan diri dalam pasaran pemain.


Buktinya? Mereka telah memecahkan rekod pembelian pemain mereka pada musim panas ini dengan menandatangani Tanguy Ndombele dengan bayaran £55 juta. Mereka telah membelanjakan hampir £100 juta dalam jendela perpindahan pemain pada musim panas yang lepas, selepas bertindak untuk tidak berbelanja dalam dua jendela perpindahan pada musim 2018/19.

Walau tanpa membuat pembelian pemain, Pochettino masih boleh membawa pasukannya ke perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah dan menamatkan PL di tempat empat pasukan terbaik.

Wenger mungkin tidak berjaya membawa Arsenal ke perlawanan akhir kejohanan kelab Eropah, namun agak konsisten menempatkan kelab di empat pasukan terbaik dari 2006 - 2016, dan memenangi tiga Piala FA.

Pochettino sudah pasti enggan disamakan dengan bekas pengurus berbangsa Perancis itu.

Adakah Spurs boleh bersaing dengan lebih hebat di masa akan datang dengan beban hutang stadium ini?

Post a Comment

Previous Post Next Post