Wan Kuzain sedia wakil Malaysia


Pemain sensasi bola sepak yang sedang meningkat naik di Amerika Syarikat, Wan Kuzain Wan Kamal, sudah memberi kata putus untuk bermain mewakili Malaysia.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin, hari ini, yang menyatakan pemain terbabit telah pun menghubungi Ketua Jurulatih Skuad Bola Sepak Bawah 22 Tahun (B-22) negara Datuk Ong Kim Swee dan menyatakan hasratnya bermain mewakili Malaysia terutama bagi temasya Sukan SEA.

Kata Hamidin, Wan Kuzain dilaporkan berbuat demikian pada bulan lepas.

“Sebelum ini, dia (Wan Kuzain) tidak berminat tetapi baru-baru ini beliau telah menyatakan hasratnya kepada Kim Swee untuk bermain.

Jadi, kita tengah membuat persiapan untuk membawanya ke Malaysia bermain sama ada untuk pasukan Malaysia (Harimau Malaya) atau bawah 23 tahun,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Ibu Pejabat Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta'zim (JDT) di Gelang Patah, hari ini.

Ditanya sama ada persiapan itu boleh diselesaikan lebih cepat bagi membolehkan Wan Kuzain beraksi dalam perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di antara Malaysia dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang dijadualkan pada 10 September ini, Hamidin berkata perkara itu tidak dapat dilaksanakan.

“...kerana proses (prosedur untuk membawa dia balik) ada. Jadi, memang tidak sempat. Namun begitu kita akan cuba untuk Sukan SEA kerana beliau kini sedang bermain dalam saingan Major League Soccer (MLS) Amerika Syarikat," kata Hamidin.

Penghujung tahun lalu, Wan Kuzain yang berdarah Malaysia dan bermain untuk Sporting Kansas City dalam saingan MLS dilaporkan dalam dilema untuk memilih hala tuju masa depannya iaitu sama ada mahu terus bermain di Amerika Syarikat atau beralih kepada Malaysia.

Sementara itu, berhubung perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Indonesia Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta, esok, Hamidin berkata pihak berkuasa Indonesia memberi jaminan terhadap keselamatan pemain dan juga penyokong pasukan negara.

“Kita telah bermesyuarat dua kali mengenainya dan berharap perlawanan esok akan berjalan dengan baik sehingga tamat perlawanan. Begitu juga dengan pemain-pemain, semoga mereka dalam keadaan baik sehingga pulang ke Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA

Post a Comment

Previous Post Next Post