Arsenal bersedia untuk menawarkan khidmat kaunseling kepada kapten pasukan musim ini, Granit Xhaka kerana risau dengan kesihatan mentalnya selepas insiden yang berlaku pada perlawanan liga tengah malam Ahad lalu (waktu Malaysia).
Xhaka telah dicemuh oleh sebilangan penyokong Arsenal di Stadium Emirates ketika dia berjalan keluar padang untuk digantikan dengan Bukayo Saka pada separuh masa kedua perlawanan.
Dia memberikan respon negatif terhadap cemuhan tersebut dengan meletakkan tangan kiri di telinga kirinya sambil memberikan kata-kata kesat.
Sebelum itu, dia menanggalkan lilitan kapten di lengannya dan mencampakkannya ke bawah sebelum dikutip oleh Pierre-Emerick Aubameyang.
Granit Xhaka terus membuka jersinya dan masuk ke dalam bilik persalinan selepas dikeluarkan oleh Unai Emery |
Tindakan negatif sebilangan penyokong Arsenal di stadium ini mungkin ada benarnya memandangkan Xhaka tidak memberikan aksi positif dalam perlawanan menentang Crystal Palace itu, yang terpaksa berakhir dengan keputusan seri 2-2.
Xhaka dipersalahkan kerana dikata tidak bersungguh untuk menghalang pemain lawan dari membuat hantaran lintang ke dalam kawasan gol, yang berkesudahan dengan jaringan gol kedua pihak lawan menerusi penyerang mereka, Jordan Ayew.
Sehingga kini, dia menolak permintaan pengurus Arsenal, Unai Emery untuk membuat kenyataan memohon maaf kepada penyokong atas tindakannya itu.
"Ya [dia perlu memohon maaf]. Kita semua membuat kesilapan, kita perlu memohon maaf, dan kami telah mencadangkan perkara itu kepadanya," kata pengurus the Gunners itu.
"Dia tahu dia bersalah dan sangat terasa hati. Sekarang, dia sungguh kecewa dan sedih.
"Dia sudah kecewa. Perkara paling penting sekarang ialah kami akan menjaganya dan cuba memulihkan dirinya kembali ke prestasi terbaiknya."
Sportsmail mendedahkan bahawa Emery juga telah mengadakan perjumpaan persendirian dengan ahli pasukan yang lain samada dia harus mengekalkan Xhaka sebagai kapten pasukan.
Sumber terdekat mengatakan pemain tengah antarabangsa Switzerland tersebut terkesan dengan cemuhan dan makian yang diterimanya pada hari Ahad lepas.
Dia juga sangat berang dengan cemuhan yang dilemparkan peminat di akaun media sosialnya, sehingga dia terpaksa menutup ruang komen di Instagramnya.
Xhaka juga menukar profil gambar Instagramnya dari memakai jersi Arsenal ke memakai jersi negaranya dengan lilitan kapten di lengan.
Gambar profil Instagram Granit Xhaka sudah ditukarkan kepada gambar dirinya memakai jersi negaranya dengan memakai lilitan kapten |
Rakan sepasukannya telah memberikan sokongan kepadanya walau para peminat mahukan dia dilucutkan sebagai kapten pasukan.
Xhaka telah dilantik menjadi kapten selepas menerima undi tertinggi daripada kakitangan kelab termasuk rakan sepasukannya - menunjukkan dia merupakan calon yang terbaik untuk memegang jawatan itu musimm ini.
Pada pendapat penulis, Xhaka sememangnya boleh memegang jawatan kapten pasukan, namun kerana dia sentiasa diletakkan dalam posisi yang bukan menjadi posisi kegemarannya musim ini, dia tidak dapat menjalankan tugasnya sebagai seorang pemain tengah yang diharapkan, juga peranannya sebagai ketua pasukan.