Nigel Winterburn cadang Patrick Vieira sebagai pengganti Unai Emery

Nigel Winterburn mencadangkan Patrick Vieira sebagai pengurus baru Arsenal andai Unai Emery hilang tempatnya jika prestasi tidak menentu Arsenal masih berterusan.

Baru tiga bulan musim bolasepak 2019/20 di England bermula, tetapi Unai dilihat tidak dapat mendapatkan keputusan yang positif secara konsisten dan masalah di bahagian pertahanan masih lagi tidak diperbaiki.

Bukan sahaja hanya mengutip 16 mata dari 10 perlawanan pertama (4 menang, 4 seri, 2 kalah), Arsenal turut bolos 14 gol, dan kini menduduki tempat kelima dalam Premier League (PL).

Winterburn, yang pernah memenangi PL dan Piala FA pada tahun 1998 bersama Vieira, rasa pengurus Nice tersebut mempunyai keupayaan untuk menjadi muka baru pengurus Arsenal.


REKOD PENGURUS PATRICK VIEIRA

  • Skuad bawah 21 & 23 tahun Manchester City (Jun 2013 - Disember 2015) 
    • Perlawanan: 52 
    • Menang: 26 
    • Seri: 7 
    • Kalah: 19 
  • New York City FC (Januari 2016 - Jun 2018) 
    • Perlawanan: 90 
    • Menang: 40 
    • Seri: 22 
    • Kalah: 28 
  • OGC Nice (Jun 2018 - ) 
    • Perlawanan: 52 
    • Menang: 20 
    • Seri: 12 
    • Kalah: 20
"Saya tidak tahu jika mereka cukup berani untuk melantik seseorang seperti [Freddie] Ljungberg atau [Mikel] Arteta," beritahu Winterburn kepada Gambling.com

"Mereka memang jurulatih yang bagus, tetapi mereka sekurangnya perlu berada di beberapa peringkat lebih atas lagi sebelum boleh mengambil alih jawatan pengurus pasukan."

"Saya boleh katakan untuk memerhatikan apa yang berlaku dengan Patrick Vieira. Jika seseorang seperti dia boleh membukti boleh mengemudikan kelab ke jalan yang betul, maka Arsenal perlu mengambil kira mengenai hal ini."

Persoalan timbul adakah Emery boleh membawa kembali bola sepak Liga Juara-Juara Eropah ke Stadium Emirates?

Leicester City, Chelsea, dan Tottenham Hotspur boleh dikatakan calon-calon kuat untuk mendapatkan tempat empat pasukan teratas liga musim ini.

Dengan ketinggalan empat mata dari tempat empat pasukan teratas, tekanan semakin meninggi ke atas bahu Emery menjelang perlawanan Piala Carabao menentang Liverpool pada awal pagi Khamis ini (waktu Malaysia).

Winterburn berpendapat jika Emery gagal mengembalikan Arsenal ke kancah Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan, dia sudah pasti akan kehilangan kerjanya ini.

"Saya rasa akan ada penilaian semula andai Arsenal gagal mencapai matlamat tempat empat pasukan teratas liga," tambahnya.

"Mereka tidak boleh berada di posisi yang sama ketika di musim terakhir Arsene Wenger, apabila terdapat 50% penyokong mahukannya kekal, dan 50% yang lain mahu beliau keluar dari kelab. Dan setiap kali berlaku sesuatu di atas padang, mereka akan ada krisis sesama sendiri.

"Sangat tidak selesa untuk duduk dan lihat perlawanan-perlawanan di penghujung zaman Wenger. Sememangnya tidak selesa sebagai seorang bekas pemain untuk hanya melihat di tepi padang."

Tidak kiralah sesiapa pun yang menjadi pengurus baru Arsenal nanti (andai Unai Emery meletak jawatan atau dipecat), dia perlulah seseorang yang dapat mengembalikan corak permainan menarik yang diamalkan ketika zaman Arsene Wenger. 

Mungkin dengan sedikit penambahan taktikal, idea baru diperlukan bagi mengelakkan masalah sama berulang.

Arsenal sebuah kelab yang besar, dan memerlukan seseorang yang mempunyai 'jiwa' untuk mengembalikan kelab ini seperti zaman kegemilangan dahulu, naik perlahan-lahan tetapi konsisten, dan mungkin Patrick Vieira adalah orang yang dinanti!

Post a Comment

Previous Post Next Post