Pemain muda sensasi, Bukayo Saka menyatakan dia tidak sabar menanti kepulangan Alexandre Lacazette ke skuad selepas pulih dari kecederaan buku lalinya.
Tetapi dia juga berazam mahu merebut tempat pemain Perancis tersebut dalam skuad senior Arsenal.
Bukayo Saka antara pemain yang bersinar ketika seri menentang Manchester United pada awal bulan ini. |
Lacazette semakin hampir ke kecergasan perlawanan selepas enam minggu diketepikan, dan mungkin berpeluang dinamakan dalam skuad yang akan menentang Sheffield United di Bramall Lane.
Saka menggunakan peluang yang terhidang semasa ketiadaan penyerang tersebut, berjaya mendapat tempat dalam kesebelasan utama perlawanan PL selepas menampilkan permainan yang mantap dalam perlawanan Europa League menentang Eintracht Frankfurt bulan lepas.
Dia sudah bermain dalam tiga perlawanan terakhir Arsenal, memberikan aksi yang bagus di bahagian kiri serangan, terutama ketika seri 1-1 menentang Manchester United. Dia membuat assist untuk gol penyamaan pasukannya yang disempurnakan oleh Pierre-Emerick Aubameyang.
Saka tidak akan berdiam diri dan akan berlatih untuk mengekalkan tempatnya dalam kesebelasan utama walau Lacazette sudah boleh kembali beraksi.
"Memang bagus untuk mempunyai kesemua pemain terbaik kami. Kami semua bersaing untuk memastikan kami boleh bermain dengan lebih baik. Ada pemain yang akan dapat peluang bermain andai salah seorang pemain mengalami kecederaan. Tetapi saya mahu semua orang kembali dan buat yang terbaik untuk Arsenal.
"Boss tahu apa yang saya boleh buat, apa yang pemain lain boleh buat. Perlawnaan yang berbeza memerlukan pemain yang berbeza tetapi saya sudah tunjukan kepada boss yang dia boleh percayakan saya. Saya rasa boleh memberikan yang terbaik dalam apa-apa perlawanan.
"Ini seperti mimpi. Saya sudah berusaha untuk merasai detik ini sejak kecil. Kini saya sudah masuk ke dalam skuad utama, saya mahu berikan yang terbaik untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh boss.
"Saya hanya mahu berusaha gigih, memberikan segala yang saya mampu dan persembahan yang baik. Saya sentiasa berikan yang terbaik jika boss berikan kepercayaan kepada saya untuk bermain."
Saka adalah salah seorang dari beberapa pemain remaja yang telah diberikan peluang oleh Unai Emery untuk beraksi dengan skuad utama musim ini.
Joe Willock, Reiss Nelson, dan Emile Smith Rowe antara pemain muda dari akademi Arsenal yang diberikan peluang bermain musim ini.
Saka percaya Arsenal boleh mendapat manfaat dari usaha mereka memainkan pemain muda musim ini, sama seperti yang dilakukan oleh Chelsea sejak permulaan musim baru ini.
"Kedua-dua kelab mempunyai pemain muda berbakat yang mereka mahu serapkan ke dalam skuad utama," kata Saka.
"Ianya menjadi di Chelsea dan juga kepada kami. Saya berharap kami boleh terus mendapat peluang, dan menunjukkan kepada boss apa yang boleh kami lakukan."
Sejak membuat debut untuk Arsenal pada November 2018 ketika menang 3-0 ke atas Vorskla Poltava dalam perlawanan peringkat kumpulan Europa League, Saka sudah menjaringkan satu gol dan membuat tiga assist dalam sembilan penampilan dengan skuad senior setakat ini.
Dia berpotensi menjadi seorang pemain yang bernilai untuk Arsenal andai dia diberikan lebih kebebasan untuk membuat keputusan, dan menggunakan peluang tersebut untuk memberikan manfaat kepada pasukan.