Oliver Giroud sudah meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan kekurangan minit bermain sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Olivier Giroud hanya membuat 5 penampilan sahaja dalam musim 2019/20 setakat ini |
Pengurus Chelsea, Frank Lampard memahami kerisauan penyerang antarabangsa Perancis tersebut mengenai peranannya sebagai pemain di bangku simpanan, namun beliau mahu menyakinkan penyerang itu untuk kekal di Stamford Bridge musim ini.
Tammy Abraham telah dipilih sebagai penyerang utama kelab selepas kelab London tersebut telah mengalihkan fokus kepada pemain-pemain muda, dan hasilnya berbaloi apabila Abraham kini salah seorang penjaring gol terbanyak PL setakat ini dengan lapan gol.
Impak positif yang ditunjukkan Abraham menyebabkan Giroud kurang minit bermain, dan Lampard memahami keresahan pemain berusia 33 tahun ini.
"Tidak, [kami mahu dia kekal]. Dia memainkan peranan besar dalam skuad ini. Seperti saya sudah katakan, Tammy lebih produktif tetapi saya akan duduk berbincang dengan dia [Giroud] kerana saya menghormati dia. Saya mahu dia di sini," Lampard memberitahu para wartawan di Stamford Bridge.
"Saya dah berborak baik dengan Oli sebelum dia pergi [ke tugasan antarabangsa bersama Perancis]. Saya sentiasa menghormati semua pemain, terutama pada usianya. Saya suka sikap profesionalnya.
"Dia tidak sepatutnya gembira dan menerima hakikat tidak bermain. Itu yang sepatutnya yang dilakukan oleh pemain yang bagus. Seperti saya sudah katakan kepada Oli, dia akan dapat bermain dan memberi pengaruh yang besar kepada kami. Buat masa ini, memang akan kurang minit bermainnya kerana melihat bagaimana Tammy bermain ketika ini," sambung Lampard.
"Jadi saya akan duduk bersama Oli pada Januari nanti, tetapi Januari lama lagi.
Ketua jurulatih Perancis, Didier Deschamps juga menyuarakan kerisauan Giroud kerana dia perlu memastikan Giroud bersedia untuk kejohanan EURO2020 pada musim panas tahun depan.
Lampard berulang kali menegaskan sikap profesional Giroud di belakang tabir pada ketika yang sukar ini. Abraham juga memberikan sokongan kepada Giroud, mengatakan dia banyak belajar apabila berlatih bersama juara Piala Dunia itu.
"Saya lihat Oli macam seorang abang," kata Abraham selepas kemenangan 1-0 ke atas Newcastle.
"Saya sentiasa belajar dengan dia di padang latihan dan membesar melihat dirinya bermain. Dia sentiasa menyokong saya.
"Anda harus memberi sokongan kepada pemain yang bermain baik dan menjaringkan gol, dan itu yang dia lakukan kepada saya. Saya sudah lihat ramai penyerang yang lain. Oli memang bukan penyerang paling pantasa di dunia, tetapi dia sangat luar biasa.
"Gaya permainan one-touch dia dan penyudahnya, saya lihat dan ambil sedikit apa yang saya lihat dalam sesi latihan. Apabila bola dihantar dengan ketinggian yang sesuai ke dalam kotak penalti, cara dia voli dan segalanya mesti tepat. Anda perlu melihat, ambil dan tambahkannya di dalam permainan anda.
"Saya seorang yang belajar menerusi kaedah visual. Saya suka melihat dan mengambil idea orang lain dan menambahnya ke dalam diri saya." tambah Abraham lagi.
Kontrak Giroud bersama Chelsea akan tamat pada musim panas akan datang, dan jikalau situasi tidak berubah, mungkin ini musim terakhir Giroud bersama the Blues.