Bekas penyerang Arsenal, Carlos Vela telah memecah rekod penjaring gol terbanyak dalam satu musim Major League Soccer (MLS) semalam.
Beliau menjaringkan tiga gol ketika membantu Los Angeles FC menewaskan Colorado Rapids di Stadium Banc of California dengan keputusan akhir 3-1, sekaligus menambah bilangan jaringan golnya ke 34 gol musim ini.
Vela memecah rekod terdahulu yang dicipta oleh penyerang Orlando City, Josef Martinez yang menjaringkan 31 gol dan memenangi Kasut Emas MLS musim lepas.
Beliau memulakan perlawanan [lawan Colorado Rapids] terikat 31 jaringan gol dalam satu musim dengan penyerang antarabangsa Venezuela itu, sebelum memecahkan rekod tersebut pada minit ke-28 perlawanan apabila melakukan rembatan lencongan cantik dari luar kotak penalti menewaskan penjaga gol lawan, yang juga bekas penjaga gol Manchester United, Tim Howard.
Penyerang Mexico ini menambah jaringan selang dua minit kemudian, membuat rembatan lipat cantik dari dalam kotak penalti, sebelum melengkapkan hat-trick pada minit ke-50 dengan menolak mudah bola selepas menerima hantaran lintang rendah daripada rakannya.
Vela kini mendahului carta penjaring gol terbanyak musim ini dengan 34 gol dalam 31 perlawanan, 4 gol melebihi penyerang Los Angles Galaxy, Zlatan Ibrahimovic.
Sejak berpindah ke LAFC pada Januari 2018 dari Real Sociedad, penyerang berusia 30 tahun ini sudah menjaringkan 51 gol dan assist 22 gol dalam 65 perlawanan untuk pasukannya.