Eddie Nketiah meraikan jaringan ketika menentang Austria |
Penyerang muda Arsenal, Eddie Nketiah menjaringkan hat-trick ketika membantu skuad England bawah 21 tahun menang selesa 5-1 ke atas Austria dalam perlawanan kelayakan kejohanan EURO bawah 21 tahun pada awal pagi tadi.
Eddie digandingkan dengan pemain Chelsea, Callum Hudson-Odoi di barisan serangan England, dan percaturan ini membuahkan hasil apabila kedua-dua pemain ini berjaya meledak gol dalam perlawanan ini.
Callum menjaringkan dua gol pada separuh masa pertama perlawanan. Gol pertama seawal minit ke-12 perlawanan, apabila merembat voli kemas ke penjuru atas gol setelah menerima hantaran daripada Max Aarons.
Gol keduanya juga menarik, mendapat bola dari kawasan sendiri, membawa bola secara solo sebelum merembat lencongan cantik dari luar kotak penalti.
Eddie mencuri tumpuan dalam perlawanan ini bukan sahaja dengan tiga jaringan golnya, tetapi persembahan keseluruhannya, melihat dari kepintarannya menempatkan diri di posisi yang betul untuk menjaringkan gol sehingga kesungguhan memberi tekanan kepada pemain pertahanan lawan untuk melakukan kesilapan.
Gol pertama Eddie dijaringkan pada minit ke-28 apabila dia pintar memusingkan badan untuk menyambut hantaran rakannya, menjaringkan gol dari sudut sukar menewaskan penjaga gol lawan, Fabian Ehmann.
11 minit kemudian, dia menjaringkan gol kedua menerusi tandukan bijak ke penjuru bawah gol setelah menerima hantaran lintang rakannya dari sebelah kiri padang.
Dia melengkapkan hat-trick 10 minit sebelum tamat perlawanan apabila bijak menolak bola dari jarak dekat hasil hantaran pemain muda Liverpool, Rhian Brewster.
Eddie Nketiah's hat-trick for England U21 pic.twitter.com/GrFMt2oMVL— Arsenal Charrúa (@ArsenalCharrua) October 16, 2019
Eddie kini sudah menjaringkan tujuh gol dari enam penampilan bersama skuad bawah 21 tahun England.
Andai dia dapat meneruskan ketajaman penyudahnya di hadapan gol seperti ini, tidak mustahil suatu hari nanti dia akan menjadi penyerang utama di kelab dan negaranya.