Menurut Arsene Wenger, Real Madrid masih belum melihat tahap sebenar Eden Hazard, dan walau mereka sudah dapat melihatnya, Hazard tidak boleh menggantikan Cristiano Ronaldo.
Hazard telah mencetak gol pertamanya di La Liga dan juga assist dalam perlawanan terakhir Madrid sebelum rehat minggu antarabangsa, dalam kemenangan 4-2 ke atas Granada.
Kemenangan itu meletakkan skuad Zinedine Zidane di tempat teratas liga buat masa ini. Walaubagaimanapun, kedudukan ini tidak dapat menyembunyikan kelesuan kelab gergasi Sepanyol tersebut dalam kempen baru ini.
Ketika ditanya mengenai Hazard oleh beIN Sports, Wenger berkata: "Dia adalah jawapan yang mereka cari, tetapi sudah pasti bukan untuk menggantikan Ronaldo. Dia tidak akan menjaringkan 50 gol dalam setahun kerana itulah cara mereka bermain bolasepak sekarang.
Eden Hazard (kiri) dan Karim Benzema (kanan) menjaringkan gabungan 7 gol untuk Real Madrid setakat ini |
"Mereka memerlukan seorang lagi penjaring gol di Real Madrid kerana [Karim] Benzema kini sudah berusia 32 tahun, dan mereka boleh melakukan dengan lebih baik kalau mereka mempunyai seorang pemain yang lebih muda bersama dirinya untuk menjaringkan gol.
"Eden Hazard ialah seorang pemain yang menakjubkan. Boleh mencipta peluang dan kadang-kadang melakukan penyudahnya apabila diperlukan dalam perlawanan-perlawanan besar.
"Dia tidak takut dengan sesiapa - saya fikir Real belum melihat lagi Hazard yang sebenar. Dia tidak berada dalam tahap fizikal terbaiknya. Sebab itu saya percaya mereka akan menemui Hazard yang sebenar." sambung pengurus Perancis berusia 69 tahun itu.
Persiapan pra-musim Hazard telah terganggu dengan kecederaan hamstring, tetapi kini beliau sedang berlatih untuk kembali ke tahap kecergasan perlawanan sepenuhnya.
Wenger juga memberi pandangan mengenai kekurangan pemain muda untuk menjadi pelapis kepada Benzema, dan ini mungkin memberi kesan kepada Luka Jovic.
Penyerang berusia 21 tahun ini masih belum memberikan impak yang diharapkan selepas melengkapkan perpindahan dari Eintracht Frankfurt pada musim panas lalu.
Pemain Serbia tersebut menjaringkan 17 gol dalam Bundesliga dan 27 gol dalam semua kejohanan musim lepas, namun masih gagal menemui sasaran gol untuk Madrid setakat ini.
Ianya mungkin berpunca dari kekurangan masa bermain. Luka Jovic sudah membuat tujuh penampilan di liga dan Eropah setakat ini, namun dapat bermain lebih dari 25 minit dalam dua perlawanan sahaja.
Real Madrid akan menentang Real Mallorca di tempat lawan selepas habis minggu perlawanan antarabangsa bulan ini.