PENGENDALI Arsenal, Unai Emery mengatakan bahawa keputusan untuk membekukan Mesut Ozil daripada skuad adalah sebahagian daripada strategi yang dipersetujui oleh pihak pengurusan kelab.
Bekas pemain antarabangsa Jerman itu tidak muncul dalam lima perlawanan terakhir Arsenal, dengan Emery memberikan sedikit penjelasan mengenai keputusan mengejutkannya untuk terus menghukum pemain yang menerima gaji tertinggi dalam sejarah kelab.
Ozil bagaikan turut meluah perasaannya dengan memuat naik beberapa mesej di laman sosial dengan penuh misteri dan menegaskan baru-baru ini bahawa beliau mahu kekal di kelab serta akan bekerja keras untuk mendapatkan semula tempatnya.
Manakala prestasi Arsenal dibawah Emery yang memasuki musim kedua jauh lebih teruk berbanding musim lalu dimana persembahan musim ini dilihat begitu tidak menyakinkan.
Kesukaran untuk mendapatkan mata apatah lagi untuk mencapai kemenangan merupakan sesuatu yang paling ketara.
Dan itu mendorong peminat dan penyokong mendesak Emery untuk menurunkan pemain berusia 31 tahun itu setelah The Gunners dilihat kekurangan kreativiti dalam pasukan.
Emery telah memainkan lima pemain berbeza pada peranan no.10 yang menjadi posisi milik Ozil dalam dua perlawanan Arsenal sebelum ini (sebelum perlawanan malam tadi), kekalahan 1-0 kepada Sheffield United dan kemenangan 3-2 dalam saingan Liga Europa ke atas Vitoria.
Dan pengendali kelahiran Sepanyol itu telah mendedahkan perbualan beliau dengan pihak tertinggi di kelab yang menyaksikan persetujuan mengenai tindakannya melayan Ozil adalah langkah yang betul (sebagaimana dilaporkan Daily Mail).
"Di sini, kita mempunyai satu strategi yang dipersetujui sebagai kelab dan sebagai satu pasukan," katanya ketika ditanya adakah terdapat tekanan dari pihak atasan untuk meletakkan Ozil kembali ke dalam pasukan.
"Kerana perkara yang paling penting ialah kelab, pasukan dan mencari prestasi. Sebelum ini kami bercakap di antara kami untuk mengambil keputusan itu.
"Saya tahu semua penyokong mahu mengetahui sesuatu tetapi sekarang bukan masanya. Saya fikir ia bukan masa untuk bercakap mengenainya.
Arsenal malam tadi dikecewakan Crystal Palace selepas mendahului lawan dengan dua gol pada minit-minit awal perlawanan sebelum jaringan penalti Luca Milivojevic pada minit ke-30 dan Jordan Ayew mengikat perlawanan dengan keputusan seri 2-2.