Pemain remaja Perancis, Mohamed Lamine Diaby-Fadiga telah ditamatkan kontraknya oleh Nice selepas mengaku mencuri jam tangan rakan sepasukannya, Kasper Dolberg.
Kenyataan kelab mengatakan: "Selepas pengakuan daripada pemain tersebut, pihak kelab telah membuat keputusan untuk membatalkan kontraknya serta merta."
Dolberg berang setelah mendapati jam tangannya yang dianggar bernilai £62,000, telah hilang pada 16 September dan telah melaporkannya kepada pihak polis.
Lamine Diaby-Fadiga (kiri) dan Kasper Dolberg |
Diaby-Fadiga telah membuat pengakuan mencuri jam tersebut selepas pihak kelab melakukan penyiasatan dalaman, dan telah memohon maaf kepada Dolberg. Dia juga bersetuju untuk membayar ganti rugi kepadanya.
Nice dan Dolberg juga dijangka akan membatalkan penyiasatan jenayah dalam isu ini.
"OGC Nice tidak boleh menerima perlakuan dan mengabaikan kesalahan sebegini. Kami tidak boleh membuat pertimbangan dari segi kewangan dan sukan. Ianya mengenai kredibiliti, mengenai kepercayaan yang menyatukan kesemua para pekerja di dalam kelab ini," sambungan kenyataan kelab.
Diaby-Fadiga telah bersama dengan kelab tersebut sejak berumur 13 tahun dan pernah bermain untuk skuad bawah 16, bawah 17, dan bawah 18 tahun Perancis.
Beliau telah membuat debut seawal usia 16 tahun ketika menentang Vitesse Arnhem dalam perlawanan Europa League pada tahun 2017.
Musim ini, beliau telah membuat enam penampilan liga di bawah Patrick Vieira (pengurus sekarang Nice). Dan akan menyertai kelab Ligue 2 Perancis, Paris FC secara percuma setelah kontraknya telah ditamatkan.