Laurent Koscielny Keluar Dari Arsenal Dengan Cara Yang Baik

Laurent Koscielny telah kembali ke Perancis hampir dua bulan, namun masih ada yang mempersoal tindakannya untuk berpindah ke Bordeaux pada jendela perpindahan musim panas yang lalu.

Tetapi, beliau mempertahankan keputusan itu mengatakan dirinya berpindah dengan cara yang baik.

Pemain pertahanan tengah ini telah membuat lebih dari 300 penampilan dan memenangi tiga Piala FA (2014, 2015, 2017) dan tiga Community Shield (2015, 2016, 2018) dalam sembilan tahun kariernya bersama the Gunners.

Koscielny dikecam oleh sebilangan penyokong kelab kerana tindakannya yang seperti memaksa kelab membenarkannya berpindah kelab memburukkan legasinya di kelab.

Pemain kelahiran Tulle, Perancis ini tidak mahu mengikuti skuad Arsenal ke sesi jelajah pra-musim ke Amerika Syarikat pada Julai lepas, dan gayanya dalam video rasmi pengumuman perpindahannya ke Bordeaux juga mengundang kemarahan para peminat Arsenal. 

Selain penyokong Arsenal, penyerang legenda kelab Ian Wright juga telah mengkritik tindakannya itu. Namun Koscielny menegaskan 'semua orang' menghormati keputusannya untuk berpindah keluar.

Beliau memberitahu L'Equipe: "Musim PL sangat panjang. Ianya memerlukan ketahanan tinggi fizikal dan mental."

"Saya tidak rasa saya boleh bermain 40 - 50 perlawanan dan saya tidak mahu mengakhiri karier saya dengan kecederaan. Saya telah turun satu tahap tetapi untuk mendapatkan lebih nikmat.

"Sama ada saya berakhir di sana atau bertukar kelab. Kami (keluarga Koscielny) rasa sudah tiba masanya.



"Saya sudah memikirkan semuanya: bolasepak, keadaan fizikal saya, isteri saya, anak-anak saya, dan kehidupan harian yang kami boleh lalui.

"Saya hanya boleh katakan saya keluar dengan cara yang baik.

"Semua yang pernah bekerja bersama saya selama sembilan tahun menghormati keputusan saya untuk pulang [ke Perancis] dengan keluarga saya."

Koscielny juga menegaskan beliau sentiasa memberikan yang terbaik ketika bermain untuk Arsenal dan memuji Unai Emery kerana memahami situasi ini.

"Saya sentiasa setia dan saling menghormati. Saya sentiasa memberikan tahap maksimum saya. Saya sudah bercakap dengan jurulatih, yang sangat memahami, dan mereka yang lain..." sambungnya lagi.

Post a Comment

Previous Post Next Post