Mohamed Elneny dilaporkan mahu meninggalkan kelab Turki, Besiktas pada Januari akan datang, walaupun baru sahaja menyertai kelab tersebut secara pinjaman dari Arsenal musim ini.
Selepas sukar mendapatkan masa bermain bersama Arsenal di bawah pengurusan Unai Emery, beliau bersetuju untuk berpindah ke Istanbul pada Ogos lepas.
Namun beliau melalui permulaan yang sukar di sana apabila dibuang padang dalam debutnya ketika menentang Gaziantep pada 14 September lalu. Besiktas tewas 3-2 dalam perlawanan itu.
Akibatnya, Elneny telah digantung perlawanan sehingga 7 Oktober 2019 dan terlepas tiga perlawanan liga menentang Basaksehir, Trabzonspor dan Alanyaspor.
Menurut sumber berita Turki iaitu Fotospor, Elneny dan Kevin Nkoudou mengintai peluang untuk berpindah keluar dari kelab tersebut kerana menghadapi isu dengan ahli lembaga kelab dan jurulatih.
Pemain tengah berusia 27 tahun itu juga dilaporkan bergelut untuk menyesuaikan diri dengan situasi kelab, dan bantahan dari para penyokong kelab.
Besiktas kini menduduki di tangga ke-16 liga, dengan hanya mengumpul 5 mata dari enam perlawanan pertama liga musim baru ini.
Skuad bimbingan Abdullah Avci ini juga telah tewas dalam dua perlawanan pertama peringkat kumpulan Europa League, kalah 2-4 lawan Slovan Bratislava dan 0-1 lawan Wolverhampton Wanderers.
Elneny bermain penuh 90 minit dalam dua perlawanan tersebut.