Jurulatih kebangsaan Jerman, Joachim Low mengesahkan Per Mertesacker dan Mesut Ozil telah memberikan cadangan kepadanya untuk memanggil Serge Gnabry menyertai skuad kebangsaan pada tahun 2014.
Gnabry berusia 18 tahun ketika mula membuat penampilan bersama Arsenal pada musim 2013/14. Pemain sayap muda tersebut membuat 14 penampilan selain membantu pasukannya dalam kejayaan Piala FA 2014.
Gnabry (kanan) ketika di sesi latihan bersama Mertesacker, Ozil, dan Robert Pires |
Rakan senegaranya Mesut Ozil dan Per Mertesacker ternyata kagum dengan apa yang telah mereka lihat, dan telah menyampaikan perkara positif mengenai perkembangannya kepada Joachim Low.
"Saya sebenarnya mahu membawa Serge ke Piala Dunia 2014 ketika dia masih berusia 18 tahun," kata Low.
"Per Mertesacker dan Mesut Ozil memberitahu saya bahawa dia sangat bagus dalam sesi latihan dan sangat pantas. Tetapi, kemudian dia mengalami kecederaan.
Kecederaan tersebut ternyata mengubah kariernya.
Pemain sayap tersebut telah digugurkan dari skuad Arsenal dalam baki enam perlawanan musim itu dan terlepas kempen Piala Dunia yang berjaya dengan Jerman.
Masalah tersebut berterusan sehingga musim seterusnya, apabila hanya mampu membuat penampilan bersama skuad bawah 23 tahun. Dan tidak pernah membuat penampilan skuad senior lagi dalam tempoh dua musim.
Bagi memastikan Gnabry dapat masa bermain dengan lebih banyak, dia telah dipinjamkan ke West Bromwich Albion. Namun, tempoh pinjamannya di sana hanyalah sia-sia.
Kemudian dia berpindah kembali ke negara asalnya dengan menyertai Werder Bremen pada musim 2016/17, dan dari situ kita boleh melihat tahap permainan Gnabry yang cergas.
Pemain kelahiran Stuttgart ini telah membuat 85 penampilan di Bundesliga, menjaringkan 32 gol dan membuat 18 bantuan gol sejak itu.
Dia dilihat lebih prolifik dengan skuad kebangsaan Jerman, menjaringkan 10 gol dalam 11 penampilan sejak membuat debut antarabangsa pada 11 November 2016.