Reiss Nelson Mengalami Kecederaan, Mungkin Berehat Sehingga Bulan November

ARSENAL kehilangan khidmat Reiss Nelson selepas pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan lutut.

Kecederaannya itu juga menyebabkan dirinya digugurkan dari skuad bawah 21 tahun England, bersama Mason Greenwood (Manchester United) dan Morgan Gibbs-White (Wolverhampton Wanderers) dan digantikan dengan Sam Surridge (Bournemouth) dan Ben Wilmot (Watford).

Skuad bawah 21 England bimbingan Aidy Boothroyd akan bermain dua perlawanan pada minggu perlawanan antarabangsa ini. 

Bermula dengan perlawanan persahabatan menentang Slovenia pada 11 Oktober, sebelum menentang Austria dalam perlawanan kelayakan kejohanan EURO bawah 21 tahun pada 15 Oktober.

Nelson baru sahaja mendapat rentak untuk bermain dalam skuad Unai Emery musim ini selepas melalui satu tempoh pinjaman yang baik bersama Hoffenheim pada musim lepas.

Beliau sudah membuat enam penampilan dalam semua kejohanan setakat ini, dan berjaya menjaringkan satu gol (menentang Nottingham Forest) dan membuat dua bantuan gol.

Diharap kecederaan ini tidak memperlahankan perkembangan pemain kelahiran London ini kerana beliau mempunyai potensi untuk menjadi seorang pemain yang bagus untuk Arsenal dan England.

Post a Comment

Previous Post Next Post