Usaha David Dein membantu pesalah di penjara dengan Twinning Project

Nama David Dein tidak asing lagi bagi penyokong kelab Arsenal terutama apabila dengan yakin membawa masuk Arsene Wenger sebagai pengurus baru kelab London tersebut pada tahun 1996.

Tindakan berani dan komitednya itu membuahkan hasil apabila Arsenal menemui rentak baru, dan kembali menjadi pasukan dominan Premier League, dan memberikan pendekatan baru pengurusan sesebuah kelab dan pasukan bolasepak Inggeris.

Beliau telah menyertai lembaga pengarah Arsenal pada tahun 1983 dan telah dilantik menjadi Naib Pengerusi pada tahun yang sama. Beliau juga menjadi Naib Pengerusi Persatuan Bola Sepak Inggeris

David juga merupakan antara individu pertama yang terlibat dalam bolasepak wanita, dan pernah menjadi Presiden kepada pasukan wanita Arsenal.

Selepas meninggalkan Arsenal pada tahun 2007, beliau telah memberikan banyak taklimat di sekolah dan penjara di sekitar negaranya.

Beliau juga merupakan salah seorang pengasas Twinning Project, sebuah projek di mana kelab-kelab bolasepak PL dan Football League bekerjasama dengan penjara-penjara di seluruh United Kingdom (UK) untuk memberikan latihan dalam bentuk kejurulatihan, pengadilan, dan kelayakan penerimaan kerja bagi mempersiapkan pesalah-pesalah ini sebelum hari perlepasan mereka.


"Saya sentiasa percaya dengan perubahan hidup menerusi bolasepak, dan sukan-sukan lain juga," kata Dein kepada FourFourTwo.

"Ketika menjadi penceramah yang komited dalam badan amal Speakers for Schools, saya membuat keputusan untuk memberikan fokus dalam peranan sukan yang boleh digunakan di dalam sistem penjara di UK.

"Saya telah dibawa melawat dan bercakap dengan para pesalah di setiap penjara di England. Di situ saya mula memahami halangan psikologi yang dihadapi oleh mereka yang mahu memulakan hidup selepas dilepaskan ke dunia luar, dan bagaimana perkara ini memberikan kesan kepada peratus melakukan semula jenayah.

Menurut statistik terkini, orang dewasa mencatat peratusan 63% melakukan semula kesalahan pada tahun pertama perlepasan mereka.

"Dan saya telah mengimpikan konsep ini bersama Twinning Project, dan telah berjumpa dengan Secretaries of State untuk menyokong projek ini.

Projek ini, yang telah dilancarkan pada Oktober 2018, telah disertai hampir 35 buah kelab termasuklah Arsenal, Liverpool, Cardiff City, Rotherham, dan Plymouth.

Jason Sweettenham, seorang lagi rakan pengasas projek ini yang juga memegang jawatan sebagai Ketua Industri Penjara, Katering, dan Pendidikan Fizikal di Penjara HM, menjelaskan, "Twinning Project ini merupakan salah satu strategi sukan di mana saya bentukkan di penjara. Ketidakupayaan untuk mendapatkan kerja tetap merupakan punca utama ramai pesalah melakukan semula kesalahan mereka.

"Kelab bolasepak merupakan sebuah organisasi yang kompleks yang telah mengambil ramai pekerja dalam pelbagai sektor dari hospitaliti dan katering ke kakitangan di padang. Kami bekerjasama erat dengan kelab-kelab bolasepak ini untuk melihat apa yang dapat kami bantu bagi mengisi kekurangan skill kerja yang dihadapi oleh mereka."

Sementara itu, David mendedahkan pencapaian yang telah dicapai setakat ini, "Terdapat banyak perkara yang boleh dikatakan pada tahun pertama projek ini, dari majlis perlancaran yang hebat yang dihadiri oleh ramai legenda permainan ini seperti Arsene Wenger dan Ian Wright, ke perlancaran pertama projek ini di HMP Downview (sebuah penjara untuk pesalah wanita), yang diketuai oleh bekas pemain pertahanan skuad wanita Arsenal dan England, Alex Scott.

"Tetapi pencapaian terhebat yang dapat dilihat di dalam projek ini adalah melihat graduan projek ini mempunyai motivasi, kepercayaan dan keyakinan diri yang tinggi selepas kembali ke masyarakat luar, di mana ini dapat menghalang mereka dari kembali melakukan kesalahan mereka yang dulu," jelas David.

[sumber: FourFourTwo Oktober 2019]

Post a Comment

Previous Post Next Post