"Saya boleh mendengar dia menjerit sekuat hati," - beritahu Cenk Tosun mengenai kecederaan serius Andre Gomes

Pemain tengah Everton, Andre Gomes mengalami kecederaan serius ketika beraksi dalam perlawanan Premier League (PL) menentang Tottenham Hotspur awal pagi tadi (waktu Malaysia).



Kecederaan bermula dengan pergeseran kaki kanan di padang semasa dikasari oleh penyerang Korea Selatan, Son Heung-Min dan pertembungan dengan Serge Aurier menyebabkan buku lalinya terpusing dan patah. 

Rakan sepasukannya, Cenk Tosun yang masuk sebagai pemain gantian berlari deras mendapatkannya dan terus memegangnya bagi menghalang Gomes melihat kecederaan pada kaki kanannya itu.


Namun dengan kesakitan yang amat itu sudah pasti mengejutkan semua pihak yang berada di tempat kejadian dan meninggalkan kesan yang sangat mendalam. Dia telah menerima rawatan kecemasan oleh paramedik sebelum dihantar ke Hospital Aintree.

Walaupun Tosun menjaringkan gol penyamaan pasukannya pada minit ke-7 dari 12 minit masa tambahan, fikirannya dan rakan-rakan sepasukannya yang lain sangat terganggu dengan insiden itu.

"Semua orang sangat sedih," kata Tosun.

"Ada pemain yang hampir menangis. Andre sangat terkejut. Matanya terbuka besar. Dia menangis dan menjerit. Saya cuba untuk memegang dan bercakap dengannya. Saya cuba untuk menenangkan dia. Kami tidak mampu untuk memahaminya. Dia yang mengalami kecederaan itu."

Everton telah mengeluarkan kenyataan pada malam Ahad, "Kami boleh mengesahkan Ander Gomes akan menjalani pembedahan pada hari Isnin selepas mengalami kecederaan buku lali dalam perlawanan hari ini menentang menentang Tottenham Hotspur.




"Pemain antarabangsa Portugal ini telah diusung keluar padang pada separuh masa kedua perlawanan dan segera dibawa ke Hospital Aintree menggunakan ambulans sambil ditemani oleh ahli pasukan perubatan Everton. Selepas menjalani beberapa ujian di hospital, dia telah disahkan mengalami keretakan dan patah pada buku lali kaki kanannya."

Son telah dibuang padang oleh pengadil perlawanan, Martin Atkinson selepas insiden tersebut, sambil dibantu oleh video assistant referee (VAR).

Perlawanan ini berakhir dengan seri 1-1. Dele Alli menjaringkan gol pertama perlawanan sebelum Tosun menjaringkan gol penyamaan pada masa tambahan separuh masa kedua. 

Keputusan seri ini tidak bermakna kepada Tosun dan Everton, kerana kecederaan serius Andre Gomes tersebut. 

Seperti yang ditulis di dalam laman sosial medianya, Tosun tidak ambil peduli andainya pasukannya tewas 5-0, kerana mereka boleh bangkit kembali dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. Namun kecederaan seperti ini memberikan kesan yang mendalam ke dalam skuadnya, dan dia berharap Gomes sangat tabah dan berusaha kuat untuk kembali pulih sebaiknya.

Post a Comment

Previous Post Next Post