Matteo Guendouzi dipanggil sertai skuad senior Perancis

Matteo Guendouzi telah dipanggil menyertai skuad senior Perancis untuk menghadapi dua perlawanan kelayakan EURO 2020 menentang Moldova dan Albania.



Dia dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Didier Deschamps bagi menggantikan pemain Juventus, Blaise Matuidi yang terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan rusuk.

Pemain berusia 20 tahun ini sudah membuat penampilan bersama pasukan remaja, dan pernah dipanggil buat pertama kali menyertai skuad senior pada bulan September lalu, tetapi dia hanya memanaskan bangku simpanan dalam perlawanan menentang Albania dan Andorra.

Guendouzi merupakan salah seorang pemain utama dalam sistem permainan Unai Emery, dan sudah membuat 16 penampilan bersama Arsenal musim ini.

Juara Piala Dunia 2018, Perancis kini berada di tempat kedua di belakang Turki dalam kumpulan H sebelum beraksi menentang Moldova dan Albania minggu ini.

Walau sama mata dengan Turki (19 mata), namun mereka tetap di belakang Turki kerana rekod pertembungan tidak memihak kepada mereka. 

Perancis tewas 2-0 di Turki sebelum seri 1-1 di Stade de France pada Oktober lalu.

Post a Comment

Previous Post Next Post