Penolong pengurus Manchester City, Mikel Arteta tidak akan mendapat tentangan dari kelabnya andai dia ditawarkan menjadi pengurus baru Arsenal.
Dia menjadi pemain kegemaran peminat sepanjang lima tahun kariernya bersama the Gunners dari tahun 2011 - 2016, juga pernah dikaitkan untuk menyandang jawatan pengurus Arsenal selepas Arsene Wenger meletak jawatan pada 2018.
Unai Emery semakin tertekan untuk mempertahankan kedudukannya selepas anak buahnya mempamerkan aksi hambar hampir dalam semua perlawanan pada musim ini.
Ramai penyokong sudah meluahkan perasaan mahu bekas pengurus Sevilla ini dipecat atau meletak jawatan selepas Arsenal tewas perlawanan PL buat kali ketiga musim ini kepada Leicester City.
Namun, pihak atasan Arsenal mengeluarkan kenyataan rasmi bahawa mereka tidak merancang sebarang penukaran pengurus buat masa ini, meletakkan kepercayaan ke atas Unai sambil mahukan dia membuat perubahan keputusan perlawanan yang lebih positif.
Arteta merupakan salah seorang pemain yang sangat dihormati di dalam bilik persalinan semasa menjadi pemain Arsenal, dan kehadirannya mungkin boleh mencipta suasana yang lebih stabil.
Satu sumber di Etihad memberitahu kepada The Sun: "Dia tahu City tidak akan menghalang dirinya untuk mencapai cita-citanya andai menerima tawaran yang lumayan dari sebuah kelab besar,"
"Bekas pemain tengah ini juga selesa bekerja di bawah salah seorang pengurus terbaik dunia iaitu Pep Guardiola, namun tidak dapat dirahsiakan lagi yang Arteta mahu mengendalikan sendiri skuadnya pada masa depan."
Mikel Arteta membuat 150 penampilan untuk Arsenal dari tahun 2011 - 2016 |
Arteta bermain perlawanan terakhir untuk Arsenal pada penghujung musim 2015/16, dalam kemenangan 4-0 ke atas Aston Villa, sebelum bersara dan memulakan karier pengurusannya.
Dalam musim pertamanya sebagai pembantu pengurus Pep Guardiola di Manchester City, dia hanya meraih tempat ketiga liga pada musim 2016/17, sebelum menang dua kejuaraan liga berturut-turut pada 2017/18 dan 2018/19.
Adakah Arteta sudah cukup 'matang' dalam dunia pengurusan untuk mengendalikan sebuah pasukan yang besar, dan adakah Arsenal berani membuat keputusan melantik Arteta sebagai pengurus baru.
Bukan sahaja Arteta, beberapa bekas pemain Arsenal seperti Freddie Ljungberg (pembantu pengurus Arsenal kini), Patrick Vieira (pengurus Nice), dan Thierry Henry juga sudah dikaitkan akan menjadi pengurus baru Arsenal.
Tetapi bersediakah penyokong Arsenal?