Menurut satu laporan, Jose Mourinho sudah memikirkan dua nama pemain baru yang dia inginkan andai dia menjadi pengurus baru di Arsenal.
Kedudukan Unai Emery sebagai pengurus Arsenal kini semakin tergugat dengan mencatat hanya satu kemenangan dari lima perlawanan terakhir liga, dengan tiga daripadanya berpunca dari kegagalan mempertahankan kedudukan selesa mendahului perlawanan sebelum berakhir dengan keputusan seri.
Mourinho telah dikaitkan dengan jawatan kerusi panas di Stadium Emirates, dan mahu membawa masuk dua pemain baru bagi menggantikan Granit Xhaka dan Sokratis Papastathopoulos.
Pengurus Portugal tersebut masih belum menemui kelab baru selepas dipecat oleh Manchester United pada Disember tahun lepas.
Prestasi semasa Xhaka dan Sokratis yang agak merudum sejak beberapa bulan kebelakangan ini menjadi salah satu punca kemerosotan keputusan perlawanan the Gunners.
Kapten pasukan, Xhaka juga telah membalas cemuhan yang diterimanya daripada para penyokong ketika dikeluarkan semasa menentang Crystal Palace dengan kata kesat, menjadi seseorang pemain yang menimbulkan suasana tidak harmoni di dalam skuad.
Menurut Don Balon (laman sesawang bolasepak Sepanyol), Mourinho mahu kelab barunya itu mendapatkan pemain tengah Borussia Dortmund, Axel Witsel dan pemain pertahanan tengah Ivory Coast, Eric Baily.
Membawa masuk Jose Mourinho mungkin sesuatu yang sangat sukar dihadam oleh peminat setia Arsenal, apabila mengimbas kembali bagaimana gaya beliau terhadap Arsenal ketika dia menjadi pengurus Chelsea dan Manchester United.
Namun, beliau seorang pengurus yang boleh menjamin kejuaraan dalam tempoh yang singkat dan cepat, sama seperti yang diharapkan oleh segelintir peminat Arsenal yang dahagakan kejayaan demi kejayaan saban tahun.
Khabar angin Mourinho dan Arsenal sesuatu yang sukar dibayangkan buat masa sekarang, tetapi apa kan daya, Arsenal memerlukan peningkatan prestasi secepat mungkin.