ARSENAL masih gagal mencapai persetujuan bersama dalam rundingan pembaharuan kontrak bersama Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette setakat ini, menurut laporan.
Laporan Goal mendedahkan bahawa Arsenal telah berusaha beberapa kali untuk mendapatkan persetujuan Aubameyang dan Lacazette bagi menandatangani perjanjian baharu dengan The Gunners, tetapi setakat ini rundingan tersebut masih menemui jalan buntu.
Kedua-dua mereka difahamkan mahu bermain dalam saingan Liga Juara-Juara dan Arsenal berisiko tinggi kehilangan mereka berdua sekiranya gagal mengikat perjanjian baharu tahun depan.
Dan ini jelas memaksa Emery untuk menamatkan saingan musim ini dikalangan empat teratas bagi memastikan tempat ke saingan terulung kelab bolasepak Eropah musim depan.
Menamatkan saingan dikalangan empat teratas merupakan sesuatu yang logik dan mudah berbanding menjuarai Liga Europa kerana berdasarkan musim lalu, Arsenal walaupun mara ke perlawanan akhir Liga Europa, namun kegagalan muncul juara memaksa mereka beraksi sekali lagi musim ini dalam saingan kedua tertinggi kelab bolasepak Eropah ini, setelah menamatkan saingan EPL di tangga ke-5.
Hasrat Auba dan Laca itu ada logiknya buat seorang pemain yang semakin berusia dimana pada musim depan (2021), Auba berusia 31 tahun manakala Laca pula akan menjadi 30 tahun dan pada usia tersebut, prestasi kedua-dua mereka masih mampu digunakan serta berada dipuncak karier masing-masing.
Sekiranya gagal beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan ataupun tiada jaminan untuk Arsenal (petunjuk kuat mampu mencabar) untuk beraksi diperingkat tertinggi itu, adalah sukar untuk kita menyaksikan kedua-dua mereka menandatangani kontrak baharu.
Kontrak Aubameyang bersama Arsenal bakal berakhir pada 30 Jun 2021 dan Lacazette pula akan berakhir pada 30 Jun 2022.