MFL UMUM JADUAL RASMI LIGA SUPER DAN LIGA PREMIER

Malaysian Football League (MFL) telah mengeluarkan jadual rasmi Liga Malaysia yang bakal membuka tirai dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Haji Ahmad Shah menemukan juara Liga Super musim lalu, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah Darul Aman FC di Stadium Sultan Ibrahim Iskandar Puteri pada 5 Mac 2021.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Dato’ Ab Ghani Hassan, beliau berharap kesemua pasukan Liga Malaysia yang terdiri daripada Liga Super dan Liga Super masing-masing dapat memanfaatkan persiapan terbaik selepas jadual rasmi telah diumumkan.

Bagaimanapun, Dato’ Ab Ghani turut berharap pasukan-pasukan terus kekal fokus dan berdisiplin mematuhi operasi prosedur standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam tempoh pandemik COVID-19.

Jelasnya lagi, Dato’ Ab Ghani mengakui pasukan-pasukan sedang berusaha keras untuk menyesuaikan diri dalam norma baharu.

Namun dalam masa yang sama beliau optimis bahawa kesemua yang terlibat dalam industri bola sepak mampu melaksanakan tugas sebaik mungkin sebagaimana Liga Malaysia musim 2020 berjaya dijalankan tanpa mencetuskan sebarang kluster wabak ini.

“MFL telah mengeluarkan jadual rasmi Liga Malaysia iaitu Liga Super dan Liga Premier pada hari ini.

“Seperti makluman MFL sebelum ini di mana tiada kejohanan Piala FA bagi musim 2021, saya berharap kesemua pasukan dapat mempersiapkan persiapan terbaik dalam memastikan persembahan berkualiti selepas jadual liga telah dikeluarkan.

“Dalam masa yang sama, saya turut berharap kesemua pasukan akan sentiasa kekal patuh dengan setiap SOP di mana setiap pasukan telah pun diberikan kebenaran mengadakan program latihan berpusat secara gelembung menerusi dua kaedah iaitu ‘Home’ dan ‘Camp Quarantine’.

“MFL menyedari bahawa ia bukan satu perkara mudah bagi industri bola sepak negara buat masa ini tetapi saya percaya keharmonian Liga Malaysia akan kekal terjaga jika kita semua memainkan peranan sebagaimana kita telah berjaya lakukan iaitu bebas daripada sebarang kluster sepanjang penganjuran Liga Malaysia bagi musim 2020,” katanya dalam satu kenyataan rasmi.

Dalam masa yang sama, Dato’ Ab Ghani mengharapkan penonton dapat membuat penampilan kembali di stadium secara berskala kecil jika kes pesakit baharu COVID-19 menurun pada masa akan datang.

Katanya, MFL sebelum ini telah membuat permohonan kepada pihak kerajaan berkenaan usul membawa masuk penonton berskala kecil kepada Kementerian Belia dan Sukan pada November lalu.

“Tidak dilupakan Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin bersama saya telah membincangkan kemasukan penonton secara berskala di peringkat awal jika kes pandemik COVID-19 menurun pada masa akan datang kepada Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican.

“Itulah harapan MFL di mana kami mahu venue diceriakan oleh penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

“Saya juga mahu mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada KBS di atas sokongan kepada bola sepak tempatan sepanjang Liga Malaysia berlangsung pada musim 2020 dan musim 2021,” ujarnya.

Klik untuk muat turun jadual Liga Super 2021 dan Liga Premier 2021.

-- MFL

Post a Comment

Previous Post Next Post