Menjadi persoalan ketika ini adalah mengenai masa depan Hector Bellerin di Arsenal.
Perkara itu juga akan menjurus kepada persoalan seterusnya di mana adakah Arsenal memerlukan bek kanan baharu?
Semenjak menyertai Arsenal pada tahun 2011, Bellerin telah membuat lebih dari 200 penampilan dalam semua pertandingan bersama skuad utama The Gunners.
Malah diperingkat remaja (skuad muda), dia turut membuat penampilan lebih daripada 30 kali dengan lima gol dan lima bantuan gol dihasilkannya.
Bellerin mempunyai kontrak sehingga 2023 dan ketika ini dikaitkan dengan perpindahan keluar pada jendela musim panas ini dan bekas bek kanan Arsenal telah menyokong potensi perpindahan itu dengan Barcelona dikaitkan.
Pemain berusia 26 tahun itu menyertai Arsenal dari Barcelona, sebuah kelab yang diberi tip untuk bergabung semula menjelang musim panas ini dengan presiden yang baru dilantik semula Joan Laporta yang dikatakan sebagai peminat kepada bekas pemain kelab Sepanyol itu.
Bekas bintang Arsenal, Bacary Sagna memberi petunjuk bahawa Bellerin mungkin meninggalkan Emirates musim panas ini setelah 10 tahun berada di Utara London.
Sagna, yang bermain untuk The Gunners antara tahun 2007 dan 2014, percaya Bellerin mungkin dalam perjalanan kembali ke kampungnya musim depan.
"Hector telah ada disana selama bertahun-tahun," kata Sagna kepada Goal.
"Dia mula bermain tidak lama setelah saya pergi, jadi dia sudah berada dalam pasukan selama enam tahun.
"Dan sedikit seperti yang saya rasakan, dia mungkin merasa ingin mencabar dirinya sendiri kerana sudah lama berada di sana.
"Tidak ada kaitan dengan kelab, tidak ada kaitan dengan memenangi piala atau apa sahaja.
"Pada satu ketika, jika anda ingin maju, dalam fikiran saya, anda perlu pergi ke suatu tempat dan mencabar diri anda dan bermula dari kosong semula.
"Inilah yang saya rasakan.
"Arsenal adalah kelab saya dan masih merupakan kelab kesayangan saya, tetapi setelah tujuh tahun saya merasakan bahawa kerana saya adalah sebahagian daripada mereka, walaupun ada ketika saya tidak layak bermain, saya pasti akan dipillih (untuk bermain).
"Ini agak sukar sebagai pemain.
"Hector masih muda, dia masih mempunyai lima tahun yang baik untuk bermain di peringkat teratas dan dia dapat melakukannya.
"Jadi, jika dia pergi sekarang, saya tidak akan terkejut. "
Bellerin telah menandatangani perjanjian jangka panjang terbarunya pada 2016 dan itu akan mengekalkannya sehingga 2023.
Setelah berjaya menyakinkan Bellerin untuk kekal pada musim panas lalu, Arteta sekali lagi terpaksa melalui perkara itu sekali lagi musim ini dan difahamkan kemungkinan besar bek kanan itu akan meninggalkan Arsenal.
Sekiranya Bellerin bertindak meninggalkan Emirate, adakah kita memerlukan seorang bek kanan baharu yang berprofil tinggi ataupun memberi peluang kepada pemain sedia ada terutamanya pemain-pemain muda.
Ketika ini Arsenal memiliki Cedric Soares yang telah membuat sembilan penampilan dalam saingan EPL untuk merekodkan 22 penampilan secara keseluruhannya bersama The Gunners.
Pun begitu dia sudah pun berusia 29 tahun dan mempunyai kontrak sehingga 2024.
Antara pemain muda skuad B23 Arsenal yang boleh dipertimbangkan adalah Zak Swanson, Ryan Alebiosu dan Brooke Norton-Cuffy.
Ketiga-tiga mereka juga mampu beraksi sebagai bek kiri dan ini pastinya memberi banyak kelebihan kepada Arteta.