Cheng Hoe tamatkan kem latihan Harimau Malaya lebih awal.

Skuad Harimau Malaya selesai kem latihan pusat di Johor Bahru.

Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berkata, keputusan itu dibuat bagi memberi laluan kepada persiapan kelab ekoran jadual Liga Malaysia (Liga M) yang amat padat.

Sebelum ini pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan skuad kebangsaan akan menjalani latihan selama sembilan hari bermula 22 Mac lalu.

Namun dalam pengumuman terkini, Tan Cheng Hoe mendedahkan bahawa beliau telah menamatkan kem latihan skuad kebangsaan yang diadakan di  Johor Bahru, dua hari lebih awal.

“Selepas berbincang dengan barisan kejurulatihan, kita telah membuat keputusan untuk memendekkan tempoh kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selama sembilan hari di Johor Bahru ini kepada tujuh hari iaitu berakhir pada hari ini.

“Saya gembira melihat reaksi positif yang ditunjukkan para pemain dalam tempoh seminggu ini selepas setahun lebih kita tidak berkumpul bersama, selain komitmen tinggi yang ditunjukkan mereka biarpun telah mengharungi jadual padat lima perlawanan Liga Super 2021 dalam tempoh dua minggu sebelum melapor diri.

“Disebabkan jadual perlawanan liga yang seterusnya agak dekat dan mengambil kira tempoh rehat pemain-pemain selepas kem latihan pusat ini, saya memberi ruang kepada pemain dan kelab untuk melakukan persiapan liga dengan lebih awal.

“Di samping itu juga, ia juga memandangkan kem latihan pusat ini tidak melibatkan perlawanan antarabangsa.

“Walaupun kem latihan pusat kali ini dipendekkan, ia tetap mencapai objektifnya iaitu saya dapat lihat para pemain masih berjaya mengekalkan corak permainan kita terutama dari segi taktikal yang mana mereka memahami cara pasukan kita bermain. Saya cukup berpuas hati.

“Saya masih dapat lihat banyak perkara positif dalam pasukan terutama pemain-pemain baharu yang cepat menyesuaikan diri serta bekerjasama sebagai satu pasukan. 

"Persefahaman dan suasana sepanjang kem latihan pusat kali ini pun cukup baik,” kata Cheng Hoe.

Selain itu, Cheng Hoe juga berharap kesemua pemain apabila berkumpul semula pada Mei ini bebas daripada sebarang kecederaan dan bersedia bagi memberi fokus kepada baki tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Malaysia akan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), Vietnam dan Thailand dalam baki kelayakan Kumpulan G yang diadakan secara berpusat di UAE pada Jun nanti.

“Diharap juga dengan pelepasan awal ini, pemain dapat rehat secukupnya dan bersedia untuk kembali menyambung aksi Liga Super 2021 bersama kelab masing-masing bermula Jumaat dan Sabtu ini (2 dan 3 April 2021).

“Bagi pihak Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan skuad Harimau Malaya, terima kasih diucapkan kepada Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) atas kesudian berkongsi kemudahan pusat latihan mereka sepanjang tempoh seminggu kami menjalani kem latihan pusat di Johor Bahru ini.”

Post a Comment

Previous Post Next Post