Emerson Royal pelengkap pertahanan Arsenal bagaikan Tierney.

Barisan pertahanan Arsenal akan lengkap sekiranya Arteta berjaya menandatangani Emerson Royal mengikut laporan.

Football London hari ini mendedahkan bahawa Mikel Arteta telah menemui seorang lagi 'Kieran Tierney' untuk melengkapkan pertahanan impiannya.

Malah media Inggeris itu turut mengatakan bahawa Arsenal kini berada dalam persiapan untuk menandatangani pertahanan Brazil berusia 22 tahun itu.

Sebelum ini media Sepanyol turut melaporkan dimana Arsenal sedang memantau perkembangan Emerson Royal di Real Betis.

Jendela perpindahan musim panas tinggal beberapa bulan sahaja lagi untuk dibuka dan Edu selaku pengarah teknikal Arsenal pasti sibuk dengan urusan membawa masuk pemain yang dikehendaki, manakala Arteta pula bertungkus lumus memastikan The Gunners terus berada dalam saingan Eropah, baik Liga Europa mahupun Liga Juara-Juara.

Selepas mengemaskini pasukan sedia ada Januari lalu, dengan 'membuang' beberapa pemain yang tidak diperlukan Arteta, kini tugas Edu pasti lebih berat untuk membawa masuk pemain benar-benar berkualiti bagi mengukuhkan pasukan.

Pada jendela musim sejuk lalu, The Gunners merombak hampir keseluruhan pasukan, membuang pemain yang menerima pendapatan tinggi bagi menjamin kewangan kelab kembali stabil dan pulih setelah terjejas ekoran wabak corona.

Selepas berjaya mengosongkan tempat dengan melepaskan Mesut Ozil, Sokratis dan Matt Macey (dilepaskan) serta William Saliba, Sead Kolasinac, Ainsley Maitland-Niles dan Joe Willock (dipinjamkan), Arsenal turut membawa masuk beberapa pemain baharu Januari lalu.

Antara pemain yang dibawa masuk yang benar-benar memberi impak positif adalah Martin Odegaard, namun itu masih belum memadai buat Arteta dalam mengharungi musim depan memandangkan pemain tersebut hanya dibawa masuk secara pinjaman.

Menjelang jendela perpindahan musim panas ini, sudah tentu terdapat keperluan untuk membawa masuk beberapa pemain baharu bagi mengisi posisi yang perlu dipertingkatkan lagi.

Di bahagian pertahanan, David Luiz dan Hector Bellerin dilihat kemungkinan akan dilepaskan pada jendela perpindahan nanti.

Perkembangan itu pastinya menyebabkan Arsenal akan kekurangan pemain pada pertahanan kanan (backup) walaupun sudah memiliki Cédric Soares.

Walaupun usaha untuk memujuk Bellerin untuk kekal bersama The Gunners masih diteruskan, namun pemain itu begitu kuat dikaitkan dengan Paris Saint-Germain, dengan Barcelona juga difahamkan berminat untuk mendapatkan kembali bekas pemain akademi mereka.

Kontrak Bellerin bersama Arsenal akan berakhir pada Jun 2023.

Menurut Mundo Deportivo, Arsenal telah mengenal pasti pemain pertahanan Real Betis, Emerson Royal sebagai pengganti Bellerin yang ideal dan ia memberikan gambaran tentang apa yang Arteta mahukan dari pihaknya.

Setelah berpuas hati dengan memiliki Kieran Tierney di sebelah kiri, dimana pemain antarabangsa Scotland itu begitu unggul memberikan impak yang signifikan baik dari segi bertahanan mahupun menyerang, Arteta mahukan perkara serupa di sebelah kanan.

Tierney setakat ini telah menjaringkan dua gol dan empat bantuan gol dalam 23 penampilannya untuk semua kejohanan.

Arteta ketika ini memiliki beberapa pemain sayap menyerang seperti Pierre-Emerick Aubameyang, Bukayo Saka dan Nicolas Pepe yang mampu menyelinap masuk mengucar kacirkan pertahanan lawan, dan dikatakan sedang mencari pertahanan yang mampu melakukan ovelap dengan berkesan dan disitulah nama Emerson muncul.

Pertahanan itu dikatakan memenuhi kehendak taktikal Arteta yang mempraktikan corak serangan bermula dari bawah.

Dua gol dan empat bantuan gol dalam 26 penampilan musim ini meletakkan Emerson setara dengan sumbangan menyerang Tierney dan hampir di depan Bellerin, menunjukkan dia boleh menjadi pengganti yang ideal.

Kerjasama dengan Gabriel Magalhaes, dengan pasangan yang memiliki kewarganegaraan yang sama, dapat membantu meningkatkan pertahanan Arsenal dan pemain dari Amerika Selatan itu dapat menyesuaikan diri dengan mudah bersama The Gunners kerana memiliki Edu serta Gabriel Martinelli dan Willian.

Namun tugas Arsenal untuk mendapatkan Emerson Royal bukanlah mudah kerana pemain itu juga dimiliki oleh Barcelona sebagaimana diterang sebelum ini.

Pun begitu, sekiranya Barcelona berhajat melepaskan pemain itu, ianya juga akan menjadi lebih mudah kerana Arsenal dapat meminta gergasi Sepanyol itu untuk Emerson sebagai sebahagian dari perjanjian yang akan menyaksikan Bellerin kembali ke bekas kelabnya.

Rekod bolos Arsenal dalam saingan EPL.


Post a Comment

Previous Post Next Post