Bos Liverpool, Jurgen Klopp dilaporkan terbuka untuk menjual empat bintang pasukan utamanya musim panas ini ketika dia ingin menyegarkan skuad menjelang kempen 2021/22.
Urusan perpindahan The Reds untuk tempoh setahun lalu tidaklah begitu besar dan mereka tetap setia dengan barisan pemain yang membawa kelab itu menjuarai Liga Juara-Juara dan Liga Perdana Inggeris.
Namun perkara tersebut tidak akan berlaku lagi musim ini di Anfield kerana usaha mereka untuk mempertahanan gelaran juara liga semakin hancur dan memerlukan penambahbaikan.
Keutamaan Klopp adalah menyelamatkan kempen musim ini dengan membawa pasukannya layak ke saingan Liga Juara-Juara musim depan.
Liverpool menduduki tangga kelapan liga sebelum aksi malam tadi dan menduduki tangga keenam ketika ini (selepas aksi malam tadi), dua mata di belakang West Ham yang menghuni tangga keempat liga.
Pun begitu, Liverpool telah bermain lebih banyak permainan berbanding West Ham dan juga Everton, Aston Villa dan Tottenham, yang mana keempat-empat pasukan ini mampu memintas kedudukan liga The Reds.
Kedudukan pasukan setakat 16 Mac 2021. |
Kegagalan Liverpool mendapatkan tempat di pertandingan utama Eropah musim depan dapat menyaksikan kehilangan sejumlah bintang mereka pada musim panas ini.
Tetapi tidak kira di mana mereka berada di kedudukan terakhir (menamatkan saingan liga), Klopp dilaporkan sudah bersedia untuk berpisah dengan beberapa pemain sandarannya.
Dakwaan Sunday World, pemain-pemain seperti Joel Matip, Alex Oxlade-Chamberlain, Xherdan Shaqiri dan Divock Origi semuanya akan dibenarkan keluar sekira pihak The Reds menerima tawaran yang berpatutan.
Matip telah bermain lebih minit dari jangkaan musim ini kerana kecederaan jangka panjang yang dialami Vigril van Dijk dan Joe Gomez.
Bagaimanapun, pemain berusia 29 tahun itu juga telah menghabiskan masa di bilik rawatan sehinggakan Klopp mencari calon yang lebih dipercayai.
Laporan itu menambah bahawa Klopp telah diberitahu bahawa dia akan diberi dana untuk mendapatkan sasaran utamanya Ibrahima Konate.
Pemain pertahanan RB Leipzig yang berusia 21 tahun akan tersedia dengan harga sekitar 34 juta pound.
Sementara itu, ada juga keraguan mengenai adakah Mohamed Salah akan terus berada di Merseyside, terutama jika Liverpool gagal layak ke Liga Juara-Juara.
Gergasi La Liga, Real Madrid dan Barcelona difahamkan berminat dengan pemain kebangsaan Mesir itu.
Tetapi Sunday World mendakwa pihak tertinggi Liverpool bertekad untuk melakukan apa sahaja yang mereka mampu bagi mengekalkan penjaring gol terbanyak mereka itu.
Manakala bekas pemain pertahanan Liverpool, John Arne Riise telah menyalahkan Klopp untuk keputusan buruk kelab itu.
"Saya bukan pengurus standard Klopp dan saya tidak dapat memberitahunya apa yang harus dilakukan, tetapi rasanya dia boleh melakukan lebih banyak lagi untuk menghentikan keputusan ini," kata Riise kepada Sunday World.
"Mereka tidak memiliki (Virgil) Van Dijk atau (Joe) Gomez, yang cepat dan dapat menutup bola di atas.
"Mereka tidak memiliki Fabinho dan (Jordan) Henderson dan (Gini) Wijnaldum setiap perlawanan untuk memenangi bola di tengah, jadi ini sebabnya saya merasa mereka sedikit dapat mengubah taktik mereka."