4 bandar tuan rumah Euro 2020 berisiko digugurkan.

Dublin, Glasgow dan London antara 12 bandar yang menjadi tuan rumah untuk kejohanan Euro 2020 di mana 24 pasukan akan bertanding bermula 11 Jun sehingga 11 Julai 2021.

Wabak coronavirus telah menyebabkan kejohanan yang sepatutnya diadakan tahun lepas ditunda ke tahun ini.

12 bandar yang dipilih untuk menjadi hos kali ini bagaimanapun berdepan tugas sukar bagi memastikan keselamatan dan mematuhi SOP yang ditetapkan berdasarkan situasi semasa Covid-19 serta perlu membenarkan kehadiran penonton ke stadium.

Senarai 12 bandar yang menjadi tuan rumah kejohanan kali ini adalah seperti berikut:

  1. Amsterdam (Netherlands) - Johan Cruyff Arena
  2. Baku (Azerbaijan) - Olympic Stadium
  3. Bilbao (Spain) - San Mames
  4. Bucharest (Romania) - Arena Nationala
  5. Budapest (Hungary) - Puskas Arena
  6. Copenhagen (Denmark) - Parken Stadium
  7. Dublin (Republic of Ireland) - Aviva Stadium
  8. Glasgow (Scotland) - Hampden Park
  9. London (England) - Wembley Stadium
  10. Munich (Germany) - Allianz Arena
  11. Rome (Italy) - Stadio Olimpico
  12. Saint Petersburg (Russia) - Krestovsky Stadium

Stadio Olimpico dari Rome akan menjadi tuan rumah untuk perlawanan pembukaan pada 11 Jun, sementara stadium kebangsaan England, Wembley akan menjadi hos peringkat separuh akhir dan final.

Wembley menjadi pentas tumpuan dengan menjadi tuan rumah untuk aksi separuh akhir dan final di Euro 2020.

Setakat ini, hanya lapan bandar tuan rumah kejohanan kali ini memberi jaminan membenarkan kemasukan penonton di stadium berdasarkan situasi semasa Covid-19.

Manakala empat lagi masih dalam penilaian dan berisiko digugurkan.

Munich, Rome, Bilbao dan Dublin diberi masa sehingga 19 April depan untuk membentangkan perancangan  membenarkan kemasukan penonton dengan badan bolasepak Eropah, UEFA berkata, keputusan muktamad akan diumumkan pada tarikh itu.

Jawatankuasa eksekutif UEFA akan bermesyuarat dan ada kemungkinan menggugurkan empat bandar itu daripada menjadi hos Euro dan memberikannya kepada bandar sedia ada.

Awal minggu ini Persatuan Bolasepak (FA) Ireland mengakui tidak dapat memberi jaminan kebenaran kemasukan penonton dalam jumlah yang minimum di Dublin.

Bagaimanapun negara itu sedang bersiap untuk mengambil langkah menarik semula arahan perintah berkurung yang bermula sejak Disember tahun lalu.

Bilbao pula berharap dapat membenarkan kemasukan 13,000 penonton di Stadium Sam Mames yang mempunyai 53,000 kapasiti.

Ia bagaimanapun bergantung kepada syarat ketat yang ditetapkan pihak berkuasa dengan Persekutuan Bolasepak Sepanyol berkata, agak sukar untuk melihat kemasukan penonton.

Munich pula menyatakan mereka hanya membenarkan kemasukan penonton di Allianz Arena jika situasi bertambah baik manakala kerajaan Itali sudah memberikan lampu hijau kepada penyokong untuk hadir ke Rome.

Bulan lalu, Presiden UEFA, Aleksander Ceferin menyatakan dengan tegas beliau tidak mahu mana-mana perlawanan berlangsung di stadium kosong pada saingan Euro kali ini.

Kejohanan empat tahun sekali itu akan bermula dari 11 Jun sehingga 11 Julai ini selepas tertangguh selama setahun berikutan pandemik Covid-19 dan untuk meraikan ulang tahun ke-60 kejohanan ini.

Berikut adalah senarai pasukan bertanding mengikut kumpulan dan bandar:

  • Kumpulan A (Rome/Baku): Turki, Italy (hos), Wales, Switzerland
  • Kumpulan B (Copenhagen/St Petersburg): Denmark (hos), Finland, Belgium, Rusia (hos)
  • Kumpulan C (Amsterdam/Bucharest): Belanda (hos), Ukraine, Austria, North Macedonia
  • Kumpulan D (London/Glasgow): England (hos), Croatia, Scotland (hos), Republik Czech
  • Kumpulan E (Bilbao/Dublin): Sepanyol (hos), Sweden, Poland, Slovakia
  • Kumpulan F (Munich/Budapest): Hungary (hos), Portugal (juara bertahan), Perancis, Jerman (hos)

Post a Comment

Previous Post Next Post