Boleh balik kampung beraya ke tak ni?
Minggu depan seluruh umat Islam di Malaysia dan dunia akan mula menjalani ibadat puasa.
Walaupun bulan Ramadhan kali ini tidak jauh berbeza dengan apa yang kita jalani tahun lalu, namun persoalan untuk merentas negeri tetap bermain diminda, maklumlah rindu kampung halaman terutamanya berjumpa mak dan ayah.
Dengan situasi semasa negara dilanda Covid-19, sudah pasti kita semua lebih memikirkan mengenai kebenaran merentas negeri berbanding bazaar ramadhan setelah terdapat kelonggaran SOP kali ini (berbanding tahun lalu).
Namun, ianya tetap menjadi tanda tanya mengenai keputusan kerajaan untuk membenarkan kita merentas negeri menjelang Aidiltriti ini.
Menurut laporan Berita Harian, kerajaan akan meminta Kementerian Kesihatan (KKM) membuat pengumuman lebih awal mengenai keputusan sama ada membenarkan rentas negeri sempena sambutan Aidilfitri.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengumuman lebih awal akan memudahkan orang ramai membuat persiapan dan mengurangkan kesesakan pembelian tiket pengangkutan awam.
"Apabila mereka (KKM) membuat penilaian risiko, mereka tahu sekiranya buka, apa risikonya atau kesannya.
"Jadi kita tunggu daripada KKM sama ada boleh atau tidak rentas negeri sempena Aidilfitri nanti.
"Ia bukan kuasa kita...kita lihat apa yang berlaku dulu apabila kerajaan membenarkan dan rentas negeri dibuka, terdapat 31 kluster balik kampung, sebab itu KKM perlu berhati-hati kali ini.
"Kita akan umum dalam waktu terdekat kerana kita pun tidak mahu ganggu orang balik kampung, mahu beli tiket pesawat atau bas.
"Kita akan minta KKM buat pengumuman lebih awal, jadi rakyat boleh bersedia," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja ke Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), Ulu Tiram, dekat sini, semalam.
Media pada 27 Mac lalu melaporkan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kerajaan sedang meneliti untuk membenarkan pergerakan rentas negeri bagi sambutan Aidilfitri.
Perdana Menteri berkata, pengumuman akan dibuat sebaik semua data berkaitan dianalisis KKM dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Susulan itu, Ismail Sabri berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, supaya segera mengemukakan cadangan atau keputusan mengenai rentas negeri itu.
Harapannya agar ia adalah sesuatu yang positif untuk kita semua.