Padah jika gagal beraksi di peringkat Eropah musim depan.
Arsenal dilaporkan kemungkinan besar terpaksa menjual bintang muda yang sedang meningkat naik, Bukayo Saka pada musim panas ini sekiranya gagal layak beraksi di peringkat Eropah.
Menurut laporan dari The Times, The Gunners mungkin menghadapi prospek menjual beberapa pemain teratas mereka pada jendela perpindahan musim panas ini sekiranya mereka tidak layak beraksi di Liga Juara-Juara.
Antara pemain yang mungkin dilepaskan The Gunners adalah pemain remaja sensasi, Bukayo Saka.
Sebagai produk dari akademi Arsenal, Saka membuat debut pasukan utama The Gunners pada usia 17 tahun di bawah bekas pengendali, Unai Emery pada November 2018 dan sejak itu beliau terus mendapat kepercayaan pengendali pasukan termasuklah Mikel Arteta.
Mikel Arteta may have to consider selling Bukayo Saka to free up funds. - The Times.
Prestasi Saka terus cemerlang sehinggakan beliau menjadi pemain tetap untuk kesebelasan utama The Gunners dengan pemain berusia 19 tahun ini telah menjadi salah seorang pemain terbaik Arsenal musim ini dan juga berjaya mewakili pasukan kebangsaan England.
Saka telah membuat 77 penampilan bersama The Gunners dengan berjaya menghasilkan 10 jaringan dan 18 bantuan gol setakat ini.
13 daripada penglibatan gol tersebut (6 gol, 7 bantuan gol) telah direkodkannya dalam 35 penampilan dalam kempen 2020/21 di mana dia telah menjadi salah seorang bintang yang paling menyinar dalam pasukan Mikel Arteta.
Namun, Arsenal mungkin terpaksa melepaskan pemain sensasi itu di jendela perpindahan musim panas ini seandainya mereka sekali lagi terlepas peluang beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara musim depan.
The Gunners gagal bersaing dalam peringkat tertinggi kejohanan kelab-kelab Eropah selama empat musim berturut-turut dan itu telah menyebabkan kelab kehilangan 160 juta pound sepanjang tempoh itu.
Kewangan kelab semakin terjejas teruk selepas wabak coronavirus melanda dan kegagalan beraksi di peringkat tertinggi saingan kelab bolasepak mengeruhkan lagi keadaan.
Ini kerana satu perempat dari pendapatan kelab dijana dari hasil pertandingan.
Laporan itu menambah bahawa Arsenal telah mengumumkan kerugian sebanyak £ 47.8 juta untuk tahun kewangan dan boleh mengalami kerugian hingga £ 150 juta sepanjang musim ini
Arsenal juga telah mengambil pinjaman jangka pendek berjumlah £ 120 juta dari kerajaan yang mana ianya akan dibayar pada bulan Mei ini, walaupun dapat tempoh itu dapat dilanjutkan sehingga tahun depan.
Pada dasarnya, The Gunners tidak berada dalam situasi yang paling selesa dari segi kewangan dan kembali ke Liga Juara-Juara menjadi mustahak menjelang jendela perpindahan musim panas ini.
Kedudukan dalam saingan Liga Perdana Inggeris juga menambah duka kerana Arsenal ketika ini menghuni tangga ke-10 dengan baki perlawanan hanya tinggal lapan sahaja lagi.
Malah untuk mengejar kedudukan empat teratas juga dilihat mustahil dengan The Gunners dipisahkan sembilan mata dari Chelsea yang berada ditangga keempat, pastinya laluan ke Liga Juara-Juara musim depan kelihatan tidak mungkin.
Namun, mereka masih hidup dalam Liga Europa dan memenangi trofi itu dapat membuka jalan bagi mereka untuk kembali ke pertandingan tertinggi kelab-kelab bolasepak Eropah.
Kehilangan kelayakan akan memberi masalah kepada kelab kerana mereka mungkin terpaksa menjanakan pendapatan melalui penjualan aset seperti pemain muda.
Saka, seorang pemain yang sangat ingin dikekalkan Arteta, bersama dengan pemain Gabriel Martinelli, Emile Smith Rowe, Kieran Tierney dan Thomas Partey, mungkin menjadi korban kali ini, sebagaimana laporan The Time itu.
Terdapat beberapa jalan pemain yang dijamin jalan keluar musim depan, dengan pemain pinjaman seperti Sead Kolasinac, Lucas Torreira, Matteo Guendouzi dan Ainsley Maitland-Niles, yang berada dalam radar Leicester City, akan dijual.
Selain itu, terdapat juga penjualan berprofil tinggi, dengan Hector Bellerin dan kapten pasukan, Pierre-Emerick Aubameyang setelah masa depan mereka yang masih gagal diselesaikan.