"Menyedihkan... Saya bercakap dengan Arteta" - Luahan legenda Arsenal.

Luahan legenda Arsenal mengenai situasi 'pelik' di Emirates sekarang.

Arsenal akan menentang Villarreal di peringkat separuh akhir Liga Europa minggu ini dan pertembungan itu akan menyaksikan mereka menghadapi pasukan yang diketuai oleh bekas pengurus mereka, Unai Emery.

Menjelang perlawanan yang akan berlangsung pada awal pagi Jumaat ini, akhbar Sepanyol, AS menemubual Robert Pires, yang pernah mewakili kedua-dua kelab ketika masih aktif bergelar pemain.

Selain mara ke separuh akhir pertandingan kedua tertinggi Eropah, The Gunners juga bergelut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan piala domestik (Piala FA dan EFL) musim ini.

Arsenal ketika ini berada di tangga ke-10 dengan 46 mata dan 12 mata di belakang Chelsea, yang menghuni tangga keempat EPL. 

Melihatkan pada kedudukan liga dengan baki perlawanan yang akan diharungi kelak (lima perlawanan lagi), boleh dikatakan bahawa Arsenal sememangnya tercicir dari kelompok empat teratas dan dengan memenangani Liga Europa, ia adalah satu-satunya yang akan menjamin tempat di Liga Juara-Juara musim depan.

Robert Pires bersama Arsenal dari 2000–2006

Dalam temubual yang dilakukan AS itu, legenda The Gunners mengatakan bahawa dia telah bercakap dengan Mikel Arteta dan memberikan gambaran mengenai keadaan semasa di Emirates.

"Betul, itu pelik. 

"Saya melihat keadaan [di Arsenal] dengan kesedihan, saya bercakap dengan Arteta dan saya melihat bahawa ini bukan tahun yang mudah. 

"Apa yang dapat menyelamatkan mereka adalah memenangi Liga Europa ini dan dengan itu bermain Liga Juara-Juara tahun depan, ”kata Pires.

Bekas pemain antarabangsa Perancis itu yakin faktor Emery dapat memberi kelebihan kepada pasukan La Liga berbanding Arsenal pada peringkat separuh akhir Liga Europa nanti.

"Sukar untuk meramalkan ataupun memilih pasukan untuk perlawanan separuh akhir ini. 

"Saya katakan 50%. 

"Sukar untuk mendapatkannya dengan betul. Saya rasa Villarreal mempunyai kelebihan untuk memiliki Emery, jurulatih yang telah menunjukkan prestasi yang sangat baik dalam pertandingan itu. "

Robert Pires mewakili Villareal selepas meninggalkan Arsenal untuk tempoh 2006–2010.

Pires menghabiskan enam musim bersama The Gunners, di mana dia memenangi kejuaraan liga dan Piala FA, sebelum menyertai skuad Yellow Submarine pada tahun 2006.

Ketika ditanyai lebih lanjut bagaimana Arsenal dapat kembali ke zaman kegemilangan mereka seperti yang dialaminya, Pires berkata: “Saya rasa Arsenal memerlukan idea yang memberi mereka keyakinan.

"Pada masa Wenger, adalah penting untuk mempunyai idea, untuk yakin dan kami mempunyai idea itu.

"Dan juga mempunyai gabungan pemain berkualiti, jadi kami berjaya mengumpulkan semuanya.

"Semoga Arteta dapat menjadi orang yang membuat pasukan memperolehi kembali perasaan baik itu. "

Post a Comment

Previous Post Next Post