Schalke memang mahukan pertahanan Arsenal kekal bersama mereka musim depan.
Sead Kolasinac mahu beraksi dengan lebih kerap pada separuh kedua musim ini setelah berjuang untuk mendapatkan lebih banyak masa bermain di Arsenal pada bahagian pertama kempen ini.
Kembali beraksi bersama kelab Jerman untuk kali kedua, Kolasinac telah membuat 13 penampilan liga, yang merangkumi 12 permulaan setakat ini.
Pengurus Schalke, Dimitrios Grammozis bukan sahaja menggunakan Kolasinac di pertahanan kiri, malah turut menggunakan pemain milik Arsenal itu sebagai pemain tengah bertahan dalam beberapa perlawanan.
Pasukan Bundesliga ini bergelut dalam kedudukan liga dan berada di tangga tercorot dengan kemungkinan tersingkir dari saingan tertinggi bolasepak Jerman musim depan.
Walaupun dengan situasi semasa yang tidak begitu memberangsangkan (kedudukan liga), namun pihak Grammozis mempunyai keinginan untuk mengekalkan pemain antarabangsa Bosnia dan Herzegovina itu dengan kontrak jangka panjang.
Itu mengikut laporan yang dikeluarkan SportBild minggu ini.
Laporan SportBild minggu ini mengenai Sead Kolasinac. |
Pengarah Sukan Schalke, Peter Knabel telah mengadakan perbincangan dengan Kolasinac kerana mereka sememangnya mahu mengekalkan pertahanan Arsenal itu bersama mereka.
Namun, pihak The Gunners dilaporkan telah 'menyekat' pergerakannya kerana Mikel Arteta.
Pemain pertahanan kiri pilihan utama Arsenal, Kieran Tierney telah bergelut dengan beberapa siri kecederaan musim ini yang menyebabkan Arteta terpaksa menggunakan kebijaksanaannya untuk menggunakan pemain lain di posisi tersebut, ketika ketiadaan pemain antarabangsa Scotland itu.
Difahamkan juga bahawa Arteta mahu mengelak situasi serupa berulang kembali di musim hadapan dan oleh itu, menurut dakwaan media Jerman, pengurus Arsenal itu tidak bersedia untuk membenarkan penjualan Kolasinac pada musim panas ini.
Mikel Arteta dilaporkan masih berminat menggunakan khidmat Sead Kolasinac musim depan dan tidak bersedia untuk menjualnya pada musim panas ini. |
Kontrak pemain Bosnia itu akan berakhir pada tahun 2022 di Emirates dan tidak dapat dipastikan mengapa Arteta membenarkan Kolainac keluar pada jendela musim sejuk baru-baru ini walaupun secara pinjaman.