Pemain tidak perlu putus asa dengan situasi sekarang.
Arsenal dan Tottenham mempunyai bintang Napoli, Dries Mertens dalam senarai sasaran musim panas ini ketika pasukan Serie A itu mendorongnya untuk keluar dari kelab.
Itu menurut Voetbal 24, yang merangkumi laporan dari Itali mengenai masa depan Mertens di Napoli.
Mereka mengatakan bahawa laporan terbaru di Itali menjelaskan walaupun telah menandatangani perjanjian baharu musim panas lalu, Napoli ingin menyingkirkan penyerang Belgium itu musim panas ini.
Napoli merasakan Martens terlalu membebankan kewangan kelab dan oleh itu mereka benar-benar mahu membebaskannya dari buku akaun mereka.
Perkembangan itu nyata mengecewakan Mertens, yang masih gembira di Naples dan bersama kelabnya sekarang.
Jadi, kemungkinan untuk berpindah mula wujud dan dia tidak perlu berputus asa kerana ada pasukan besar bersedia untuk mendapatkannya.
Setakat ini, tiga pasukan Liga Perdana Inggeris berminat untuk mendapatkan khidmatnya dengan Arsenal, Chelsea dan Tottenham dikatakan memerhatinya dengan penuh minat.
Walaupun tidak dinyatakan mengenai tawaran atau apa-apa yang bersifat seperti itu, tetapi Voetbal 24 mengatakan bahawa Mertens 'nampaknya akan melakukan perpindahan besar', yang menunjukkan mereka berpendapat akan ada pergerakan pada musim panas ini.
Langkah itu tentu masuk akal untuk Arsenal, memandangkan prestasi Pierre Emerick Aubameyang yang tidak kosisten selain terdapat laporan mengatakan The Gunners juga berminat menjual Alexandre Lacazette.
Tottenham juga dapat melakukan penambahan pada jentera serangan mereka terutamanya jika Harry Kane tidak lagi bersama mereka, jadi ada logiknya mereka juga dikaitkan.
Manakala Chelsea mungkin menjadi 'ajinomoto' dalam khabar angin ini untuk membuatkan kisah perpindahan menjadi lebih hangat kerana kesemua (ketiga-tiga) pasukan liga Inggeris ini merupakan seteru London dan pemain ini telah dikaitkan dengan mereka sejak musim lalu lagi.