AS Roma mulakan langkah pertama untuk Granit Xhaka.

Permintaan pertama Jose Mourinho sebagai Ketua Jurulatih Roma adalah mendapatkan pemain Arsenal, Granit Xhaka.

Semalam, laporan di Itali telah mendedahkan mengenai minat AS Roma terhadap Granit Xhaka, malah menurut wartawan Sky Italia, Gianluca Di Marzio menjelaskan pemain antarabangsa Switzerland itu telah menjadi sasaran khusus untuk Jose Mourinho, yang inginkan pemain Arsenal itu untuk memperkuat bahagian tengahnya.

Laporan itu menyatakan bahawa The Gunners tidak menentang idea penjualan pemain itu tetapi mahukan bayaran sekitar € 25 juta.

Kini, AS Roma mula bertindak memenuhi permintaan Mourinho apabila menurut Calciomercato, kelab Itali itu telah memulakan langkah pertama mereka dalam mendapatkan Xhaka.

Menurut laman web itu, pihak Serie A telah menawarkan € 15 juta dan ditambah dengan bayaran bonus untuk mendapatkan Xhaka.

Jumlah tambahan (bayaran bonus) bagaimanpun tidak pula dinyatakan, tetapi dengan Arsenal menginginkan sekurang-kurangnya € 25 juta dan tawaran yang dibuat Roma pada masa ini kurang € 10 juta, kita mungkin akan menyaksikan 'drama' perpindahan yang mungkin akan menggembirakan sebahagian peminat dan penyokong The Gunners.

Ini kerana, Xhaka bukanlah pemain kegemaran peminat walaupun khidmatnya diperlukan oleh Mikel Arteta, begitu juga dengan bekas pengendali sebelum ini, Unai Emery dan jumlah tawaran Roma beserta bonus itu dilihat tidak begitu jauh dari apa yang diinginkan Arsenal.

Malah Xhaka sendiri pernah mengeluarkan hasrat untuk berpindah sebelum berjaya dipujuk Arteta sebelum ini.

Kesempatan ini mungkin menjadi peluang terbaik kepada Xhaka untuk menunaikan hasratnya yang terbantut sebelum ini dan dia mungkin akan memberi tekanan kepada pihak pengurusan Arsenal untuk memastikan perpindahan keluar dari Emirates berlaku kali ini.

Dengan kontraknya bersama Arsenal hanya akan tamat pada Jun 2023, Xhaka sebelum ini mengalami masa sukar dengan prestasi turun naik sebelum kehadiran Arteta.

Dibawah Arteta, dia telah membuat 45 penampilan dalam semua pertandingan musim ini, menjaringkan satu gol dan membantu rakan sepasukannya dua kali.

Post a Comment

Previous Post Next Post