Atletico juara La Liga, masa depan Zidane jadi tanda tanya.

Atletico Madrid muncul juara La Liga dengan Luis Suarez memastikan kemenangan 2-1 pasukan itu mengatasi Real Valladolid sebentar tadi.

Suarez memulakan musim ini menangis selepas dipaksa keluar dari Barcelona, namun menamatkannya dengan gol ke-21 musim ini yang memberikan Atletico kejayaan dalam liga pertama sejak 2014, kali ini mengatasi Real Madrid.

"Ia musim panas yang sukar, cara Barcelona memandang rendah saya, tidak menghargai saya," kata Suarez.

"Atletico membuka pintu yang memberikan saya peluang untuk menunjukkan saya masih boleh menjadi pemain yang bagus."

Jurulatih Diego Simeone memuji penyerang veteran 34 tahun itu: "Suarez pemain yang memiliki perwatakan hebat. Dia tidak mudah mengalah, dia penjaring gol."

Musim tanpa trofi buat Real mencetuskan lebih banyak persoalan mengenai masa depan jurulatih, Zinedine Zidane.

Atletico menyedari kemenangan akan menjamin gelaran buat mereka tanpa mengira apa dilakukan Real Madrid terhadap Villarreal di laman sendiri dengan Valladolid melakukan kejutan dengan gol awal.

Real Madrid juga ketinggalan namun Karim Benzema menyamakan kedudukan pada minit ke-87 dan Luka Modric menjaringkan gol kemenangan lewat permainan untuk keputusan 2-1 di Valdebebas, menyebabkan Atletico perlu bertahan.

Ketika wisel penamat ditiup, pemain berlari ke padang dan memeluk Suarez ketika pemburuan gelaran paling sukar dan tidak dijangka di Eropah akhirnya ditamatkan.

Post a Comment

Previous Post Next Post