Santi Cazorla telah menamakan dua pemain Villarreal yang mana Arsenal telah membuat hubungan dalam potensi perpindahan.
Kisah ini tidaklah asing sekiranya anda mengikuti perkembangan Arsenal dan menjadi pembaca setia MyGooners.
Ini kerana pada Oktober 2019, kami telah mengulas kisah Santi Cazorla yang menjadi scout tidak rasmi Arsenal dalam membantu pencarian pemain baharu.
Baca: Santi Cazorla bantu Arsenal dalam pencarian pemain baharu.
Namun kisah ini kembali dibangkitkan setelah The Gunners bertemu Villareal diperingkat separuh akhir Liga Europa.
Pertembungan pertama menyaksikan bekas pengendali Arsenal, Unai Emery berjaya menewaskan anak buah Mikel Arteta 2-1 dan beliau bakal kembali ke Emirates bagi perlawanan kedua yang akan dilangsungkan pada Jumaat ini, jam 3 pagi waktu Malaysia.
Ketika tumpuan diberikan kepada perlawanan dan kedua-dua pengendali tersebut, media juga tidak terlepas untuk menambah kemeriahan pertembungan kedua-dua kelab ini dengan mengaitkan cerita perpindahan.
Arsenal kembali dikaitkan dengan dua pemain dari skuad Yellow Submarine dengan pemain pertahanan Pau Torres dan pemain sayap, Samu Chukwueze dikatakan sebagai sasaran perpindahan yang berpotensi.
Football London membangkitkan kembali laporan yang diterbitkan Marca hujung tahun lalu dalam laporan terkini mereka yang melaporkan mengenai Cazorla mengesahkan minat Arsenal terhadap pemain Villareal.
Dalam laporan terkini media Inggeris itu, mereka mengatakan - menurut bekas pemain kedua-dua kelab (The Gunners dan Villarreal), Cazorla mengesahkan bahawa memang terdapat pertanyaan mengenai pasangan itu dari wakil Arsenal lebih dari setahun yang lalu.
"Ya, terutama rakan-rakan saya di Arsenal," kata Cazorla kepada Marca.
"Mereka bertanya kepada saya tentang pemain-pemain itu dan berfikir mereka dapat membawanya ke Liga Perdana tidak lama lagi.
"Ianya bagus kerana kelab besar berminat dengan pemain muda di Villarreal tetapi, buat masa ini, saya meminta mereka [Arsenal] membiarkan pemain itu tinggal di sini [Villareal].
"Mereka masih perlu membuat lebih banyak peningkatan [dalam perkembangan mereka].
"Kedua-dua mereka mempunyai keperibadian yang hebat dan mereka benar-benar berpotensi.
"Dalam kes Pau, saya selalu mendengar perbincangan mengenai Manchester City atau Barcelona, tetapi dia tahu bahawa dia harus terus meningkat sebagai pemain dan kami akan melihat sejauh mana dia boleh pergi di masa depan."
Berita lama yang dilaporkan kembali bagi menghangatkan pertembungan Arsenal vs Villareal, cuma mereka menambah mengenai perkembangan ataupun info kedua-dua pemain itu.
Torres kini merupakan salah seorang pertahanan tengah yang menjadi tumpuan di Eropah dan dia hampir beraksi bersama Sergio Ramos dalam skuad Sepanyol pada Euro 2020 musim panas ini.
Pemain pertahanan tengah itu mungkin tidak dapat dimiliki oleh Arsenal sekarang kerana harganya yang agak tinggi, sekitar £56 juta, sementara klausa pelepasan Chukwueze pula berharga kurang dari £70 juta, masih muda dengan usia baru 21 tahun dan belum mempamerkan sepenuhnya kemampuan dirinya.
Penulis tidak merasakan bahawa Arteta berminat untuk menandatangani kedua-dua pemain itu kerana ketika ini Arsenal terlebih dahulu perlu mengesahkan tempat ke saingan Eropah musim depan.
Mungkin posisi pertahanan kanan selain pemain tengah menyerang menjadi keutaaman pada jendela perpindahan musim panas ini.