Ketua Jurulatih Bayern Munich jadi pengendali baharu skuad kebangsaan Jerman.

Pengendali Bayern Munich, Hansi Flick akan menggantikan bekas bosnya Joachim Loew dalam skuad Jerman selepas Euro 2020, umum Persatuan Bolasepak Jerman (DFB).

"Ia berlalu dengan begitu cepat sekali, tetapi saya amat gembira dapat menjadi pengendali Jerman bermula musim luruh nanti.

"Saya amat teruja, kerana saya lihat kualiti pemain-pemain, dan terutamanya pemain-pemain muda, yang ada dalam skuad Jerman," kata Flick, 56, selepas menandatangani kontrak tiga tahun menggantikan Loew.

Flick, yang menjadi pembantu Loew ketika Jerman memenangi Piala Dunia 2014, sudah lama menjadi calon pilihan menggantikan Loew, yang akan melepaskan jawatan itu akhir tahun ini selepas 15 tahun memegangnya.

Joachim Low akan meletak jawatan sebagai bos Jerman setelah 15 tahun memegang peranan tersebut.

Flick juga pernah menjadi pengarah sukan DFB dari tahun 2014 hingga 2017, dan melakar nama sebagai salah seorang pengendali terbaik Eropah sepanjang dua tahun membimbing juara Bundesliga Bayern Munich.

Selepas mengambil alih kelab yang mengalami krisis pertengahan musim daripada Niko Kovac, Flick memacu Bayern memenangi treble kedua mereka tahun lalu.

Kemudian dia memastikan Bayern memenangi gelaran Bundesliga kesembilan berturut-turut.

Namun selepas perselisihan dengan pengarah sukan Hasan Salihamidzic, Flick memohon kontraknya ditamatkan lebih awal pada akhir musim ini.

Dia akan digantikan pengendali 33 tahun dari RB Leipzig, Julian Nagelsmann.

Post a Comment

Previous Post Next Post