UEFA kini akan bertindak terhadap kelab yang masih berdegil mahu meneruskan projek Liga Super Eropah.
Badan Bolasepak Eropah, UEFA telah membuka kes disiplin terhadap Real Madrid, Barcelona dan Juventus yang boleh menyebabkan penggantungan penyertaan mereka dalam saingan Liga Juara-Juara.
UEFA hari ini membuka prosiding disiplin secara formal terhadap ketiga-tiga kelab yang masih enggan meninggalkan projek Liga Super.
"Berikutan siasatan oleh Jawatankuasa Etika UEFA dan Semakan Disiplin berkaitan projek 'Liga Super', prosiding disiplin sudah dibuka terhadap Real Madrid CF, FC Barcelona dan Juventus FC kerana melakukan kesalahan dalam rangka kerja UEFA," kata badan induk bolasepak Eropah itu dalam satu kenyataan.
UEFA melantik "pemeriksa etika dan displin" pada 12 Mei untuk menjalankan siasatan.
Sembilan lagi kelab Liga Super terselamat dan dikenakan hukuman kewangan ringan.
UEFA pada pertengahan April, dicabar menerusi pelancaran kejohanan Eropah berasingan ketika mereka juga mengumumkan perubahan besar dalam Liga Juara-Juara, sudah lama memilih untuk berbincang berbanding bertindak.
Namun selepas gagal mendapatkan keputusan daripada tiga kelab itu, mereka memilih untuk mengenakan tindakan disiplin tanpa menyatakan secara spesifik kesalahan dilakukan.
Peraturan UEFA melarang sebarang "kumpulan atau gabungan" antara kelab tanpa kebenarannya.