Koleksi terhad Kasut Aliph X Search untuk dimiliki.

Peluang untuk memiliki kasut yang pernah menjadi kegilaan anak muda Malaysia.

Malaysia pernah memiliki jenama kasut sukan dan kasual yang dikeluarkan oleh syarikat Sime Darby Footwear Sdn Bhd. sekitar tahun 80an.

Kilang yang bertapak di Alor Gajah, Melaka itu mencipta fenomena apabila menggunakan band-band rock terkenal tanahair untuk mempromosikan produk mereka itu.

Kilang Sime Darby, pengeluar kasut Aliph yang terletak di Melaka. Imej dari Group Kasut Aliph.

Sasaran mereka adalah golongan muda dan teknik pemasaran mereka itu nyata berjaya apabila jenama kasut  ini 'meletop', menjadi kegilaan anak-anak muda pada zaman itu.

Antara kaedah pemasaran mereka termasuklah penajaan filem tempatan di mana mereka pernah 'dipamerkan' dalam filem Jejaka Perasan (1986), Rozana Cinta ’87 (1987) dan Ragam Pemandu (1989), melalui tajaan peletakan produk (produk placement).

Mereka mula mengorak kejayaan apabila strategi pemasaran Aliph yang tertumpu dengan menaja kasut rasmi band-band (kumpulan) rock tempatan seperti Search, Wings, Lefthanded dan SYJ. 

Keunikan tajaan mereka menyaksikan setiap kumpulan rock itu diberi ruang dalam kerjasama bagi menghasilkan rekabentuk kasut Aliph yang unik dengan identiti kumpulan masing-masing.

Selain menghasilkan rekabentuk ekslusif bersama kumpulan rock tersohor tempatan ketika itu, Aliph juga mengeluarkan beberapa jenis model yang terkenal antaranya:

  • Aliph Marathon.
  • Aliph International.
  • Gold Smith.
  • Rider.
  • Terri.

Bagaimanapun selepas 1989, Sime Darby Footwear telah menjual kesemua pegangan saham mereka kepada Dunlop Malaysian Industries.

Selepas diambil alih oleh Dunlop Malaysian Industries, jenama Aliph terus dipelbagaikan.

Tidak tertumpu kepada pembuatan kasut sukan sahaja, bahkan produk mereka dikembangkan ke barangan lain seperti topi ataupu 'cap', stokin, beg, botol air, sweater dan seluar berasas konsep sukan.

Kesemua produk ataupun barangan tersebut dikeluarkan untuk menjenamakan semula nama Aliph.

Namun usaha tersebut memberikan kesan negatif (kerugian) setelah gagal bersaing dengan jenama sukan dari syarikat global, yang lebih popular dan seperti Adidas dan Nike.

Lama-kelamaan penjenamaan semula nama Aliph kepada barangan lain terus memberi kerugian kepada syarikat yang akhirnya menyaksikan penutupan kilang Aliph.

Semenjak itu, tiada lagi produk Aliph dikeluarkan dan keunikan kasut sukan yang diibaratkan setaraf dengan Air Jordan keluaran Nike, menjadi harta berharga bagi mereka yang memilikinya.

Kesukaran untuk mendapatkan kasut yang menjadi kegilaan anak muda satu ketika dahulu menyebabkan ia menjadi 'barang panas' dunia pengumpul, terlalu sukar untuk mendapatkan ataupun memilikinya sekarang.

Namun berita baik kepada sesiapa yang meminati kasut Aliph ini kerana ianya kini dikeluarkan kembali.

Anda boleh membuat tempahan (pre order) dilaman sesawang Fenomena Search dimana unit ini dikeluarkan dalam edisi terhad.

Sebanyak 999 pasang sahaja dikeluarkan dan setiap unit yang dijual memiliki nombor siri masing-masing (No. SA0001 -SA0999).

Harga yang ditawarkan untuk pre-order ini adalah RM599.00 berbanding harga runcit RM759.00 sepasang.

Berikut adalah gambar Aliph X Search Sneaker Shoes yang dipetik dari laman Fenomena Search.




Post a Comment

Previous Post Next Post