Arsenal berminat dengan bintang muda Brazil berusia 19 tahun.

 

Arsenal memantau perkembangan pemain muda Gremio, Vanderson menurut laporan dari Brazil.

Wartawan Jorge Nicola mendedahkan di saluran Youtubenya bahawa The Gunners telah memantau dan mengikuti perkembangan pemain muda Brazil berusia 19 tahun, yang sedang meningkat naik.

Arsenal dilaporkan menghubungi agen pemain tersebut, Giuliano Bertolucci dan mengatakan kepadanya bahawa mereka berminat terhadap pemain muda itu.

Pemain muda tersebut telah mempamerkan aksi cemerlang bersama Gremio dalam penampilan awalnya untuk pasukan utama Tiago Nunes. 

Dia hanya mempunyai 24 penampilan sebagai pemain profesional dan menjadi pilihan utama kelab untuk posisi bek kanan dalam perlawanan penting seperti Liga Brazil dan Copa Libertadores.

Nicola menjelaskan bahawa buat masa ini tiada tawaran dilakukan oleh Arsenal kerana The Gunners hanya menilai potensi Vanderson pada tahap ini, ketika ini.

Dengan Hector Bellerin dilaporkan akan meninggalkan Emirates pada musim panas ini,  Arsenal giat mencari penggantinya dan selain Vanderson, nama pemain Atletico Madrid, Kieran Trippier turut dikatakan sebagai pengganti berpontensi.

Namun sebagaimana kisah Arsenal yang menghadapi kesukaran untuk melakukan perpindahan pertukaran dengan Atletico Madrid, usaha mendapatkan pemain Germio ini juga kelihatan sama, malah ianya mungkin lebih sukar.

Ini kerana, Gremio telah mengumumkan bahawa Vanderson telah bersetuju untuk menandatangani kontrak baharu dengan kelab itu minggu ini, yang menyaksikan kontraknya hanya akan berakhir pada 2025 dan klausa pelepasannya juga dinaikan dari € 50 juta menjadi € 100 juta.

Namun bagi seorang pemain 'wonderkid' yang tidak begitu dikenali, nilai itu adalah terlalu tinggi dan tidak masuk akal.

Pun begitu, ia juga memberi petanda bahawa kelab Brazil itu tidak sedia melepaskan pemain tersebut dan sedia melindunginya dari sebarang percubaan mana-mana kelab yang ingin mendapatkan khidmatnya.

Bagi Arsenal pula, dengan Edu menjadi tulang belakang dalam membawa kemasukan pemain-pemain baharu, tidak dapat dinafikan bahawa Brazil menjadi destinasi tumpuan setelah berjaya menandatangani Gabriel Martinelli, permata muda yang mencuri tumpuan di Emirates.

Untuk rekod, ejen kepada Vanderson juga merupakan ejen yang mewakili David Luiz, seorang lagi pemain Brazil yang dibawa masuk Edu sebelum ini.

Post a Comment

Previous Post Next Post