Kylian Mbappe dilaporkan berang dengan kenyataan Olivier Giroud berkenaan gandingan mereka di barisan depan skuad Perancis.
Les Bleus menewaskan Bulgaria 3-0 di Stade de France pada aksi persahabatan terakhir sebelum Euro 2020, dengan Giroud masuk sebagai pemain gantian dan meledak dua gol untuk menghampiri rekod Thierry Henry.
Namun selepas perlawanan, penyerang Chelsea itu mendakwa skuad kendalian Didier Deschamps berupaya tampil lebih tajam di barisan depan dengan Giroud tampak tidak berpuas hati terhadap Mbappe di babak kedua.
"Kadang-kadang anda melakukan larian tetapi bola tidak sampai. Mungkin kami perlu lebih banyak bekerjasama," kata Giroud selepas kemenangan ke atas Bulgaria.
Perdebatan mengenai Kylian Mbappé tidak banyak menghantar bola ke Olivier Giroud terus diperkatakan dengan grafik dari BeIN Sports menunjukkan bahawa pemain Chelsea itu mungkin mempunyai asas. |
Deschamps cuba meredakan keadaan dengan berkata: "Jika anda mendapat bola setiap kali anda memintanya, perkara yang sama akan berlaku.
"Penyerang akan berkata mereka melakukan larian tetapi pemain tengah tidak menghantar bola.
"Barisan tengah pula akan berkata sebaliknya.
"Ia bukan berkenaan Kylian atau sesiapa."
Media itu kini mendakwa Giroud cuba berbaik dengan Mbappe pada sesi latihan namun bintang Paris Saint Germain itu tampak terus tidak selesa.
Giroud mengakui komen terbabit ditujukan kepada semua orang dan tidak semestinya kepada Mbappe semata-mata.
Deschamps dilaporkan mengadakan pertemuan antara kedua-dua pemain itu bagi menyelesaikan situasi terbabit dengan dia mengambil serius sekiranya insiden itu menjejaskan persiapan mereka di Kejuaraan Eropah.
Dia juga mengadakan pertemuan dengan semua pemain dan mengatakan untuk melupakan perkara terbabit namun perasaan tidak selesa masih lagi dapat dirasakan antara kedua-dua pemain terbabit.
Selepas pertemuan itu, Giroud dikatakan cuba memeluk Mbappe selepas melakukan dua hantaran kepadanya dalam sesi latihan.
Namun, 'mood' pemain berusia 22 tahun itu masih tidak baik dan ketegangan tetap wujud antara kedua-dua pemain itu.
Les Bleus berdepan juara Piala Dunia 2014 Jerman pada Selasa sebelum menentang Hungary empat hari kemudian.
Anak buah Deschamps turut berdepan juara bertahan Portugal pada aksi terakhir kumpulan.
Perancis berpeluang mengikut jejak Sepanyol dengan menjadi juara Piala Dunia dan disusuli dengan Kejuaraan Eropah.