Demi Messi, Icardi menjadi korban.

Paris Saint-Germain (PSG) sedia penuhi permintaan Lionel Messi untuk membawa masuk Sergio Aguero dari Barcelona.

Menurut laporan Sport Bible, Mauro Icardi mungkin terpaksa meninggalkan Paris pada Januari nanti apabila kelab itu sedang merancang untuk menjadikannya umpanan bagi mendapatkan Sergio Aguero dari Barcelona.

Prestasi Icardi bersama PSG tidak begitu mengecewakan apabila meledak 22 gol selama tiga tahun di kelab berkenaan ketika dia kerap kali memanaskan bangku simpanan dan memulakan aksi sebagai pemain gantian.

Laporan menyebut, individu yang berada di belakang perancangan ini adalah Lionel Messi yang didakwa membuat permintaan kepada pihak pengurusan PSG untuk membawa masuk Aguero.

Hubungan baik antara ke­dua-dua mereka sememangnya sudah diketahui umum dan ia menjadi alasan mengapa bekas penyerang Manchester City itu memilih menyertai Barcelona sebelum Messi membuat keputusan ke Parc des Princes.

Messi ketika ini masih belum dapat menyesuaikan diri bersama kelab baharunya sehingga sedikit sebanyak mengganggu prestasinya yang masih belum berjaya menjaringkan gol dalam aksi Ligue 1.

PSG percaya mereka perlu membuatkan pemenang enam anugerah Ballon d’Or itu gembira untuk dia memberikan aksi terbaik dan salah satu caranya adalah membawa Aguero untuk bermain bersama-sama.

Dan ini juga akan memberikan 'backup' serta kelebihan kepada PSG untuk jentera serangan mereka yang dikuasai Messi, Neymar dan Kylian Mbappe.

Berbeza dengan Icardi, biarpun pemain itu juga adalah rakan senegara Messi dari Argentina, hubungan mereka agak hambar dan tidak begitu baik, malah ke­serasian antara mereka seakan tidak wujud.

Icardi, yang awalnya berpindah dari Inter Milan secara pinjaman, telah dikaitkan dengan kepulangan ke Serie A pada masa lalu, terutamanya dengan Juventus.

Di luar padang perkara tidak begitu baik untuk penyerang Argentina itu apabila terpalit dengan kontroversi rumah tangga antara dia dan isterinya Wanda Nara, yang hangat diperkatakan di media sosial.

Selain pilihan untuk ke Barcelona, Icardi turut dikaitkan de­ngan perpindahan ke Newcastle United yang sedang membuat rombakan besar-besaran bagi membentuk skuad yang mantap selepas mendapat sokongan kewangan besar daripada pemilik baharu. 

Dengan masalah di dalam dan luar padang, mungkin sekarang merupakan masa yang terbaik untuk dia menjauhkan diri dari PSG setelah gagal mendapat tempat dalam kesebelasan utama kelab itu (menjadi pilihan utama).

Post a Comment

Previous Post Next Post