Dalam tulisan kali ini, kita akan melihat bagaimana Marc Overmars, Pengarah Bolasepak berpotensi buat Newcastle berjaya mengubah Ajax menjadi salah satu pasukan terhebat di Eropah bersama falsafahnya.
Juga bagaimana dia boleh mengubah Newcastle menjadi salah satu kuasa besar dalam dunia bolasepak.
Marc Overmars, 48 memulakan karier bolasepaknya bersama SV Epe pada tahun 1978 - 1987 sebelum menyertai Go Ahead Eagles.
Kemudian dia bergabung dengan Ajax pada tahun 1992 dan bermain selama 5 tahun di Amsterdam sehinggalah dia berpindah ke Arsenal pada tahun 1997.
Dia menjadi salah seorang pemain sayap terbaik di dunia setelah bermain untuk The Gunners dan Barcelona pada tahun 2000.
Sebelum bersara, dia mewakili sekali lagi Go Ahead Eagles pada 2008-2009, namun kecederaan yang dialaminya menyebabkan dia mengambil keputusan untuk bersara sepenuhnya selaku pemain.
Dia bersara ketika berusia 33 tahun dan memulakan karier kejurulatihannya di Go Ahead Eagles pada tahun 2009, sejurus menamatkan kariernya selaku pemain.
Pun begitu, dia menyedari bahawa arena kejulatihan bukanlah tempat yang diminatinya dan dia menjadi Pengarah Bolasepak (DOF) di Ajax pada tahun 2012.
Dari situ, bermulalah era kegemilangan kariernya setelah dia menjadikan mereka salah satu pasukan terbaik di Eropah.
Falsafah Overmars di Ajax adalah membeli pemain muda berbakat dan menjualnya dengan harga yang tinggi di kemudian hari.
Dia melakukan perkara tersebut dengan Frenkie de Jong dan Matthijs de Ligt yang kedua-duanya telah dijual dengan bayaran mencecah € 150 juta (kira-kira 127 pound sterling).
Begitu juga pemain seperti Hakim Ziyech, Kasper Dolberg, Davinson Sànchez dan Arkadiusz Milik yang turut terlibat dengan bayaran yang tidak masuk akal.
Secara keseluruhan, dia membelanjakan €302,27 juta dan kemudian menjualnya dengan harga keseluruhan mececah €636,34 juta.
Sepanjang tempoh dia bersama Ajay,seramai 42 pemain muda membuat penampilan sulung mereka dalam pasukan utama dengan sebahagian daripada mereka kini adalah pemain bertaraf dunia seperti Frenkie de Jong, Matthijs de Ligt, Donny van de Beek dan Davy Klaassen.
Keterujaan peminat dan penyokong Newcastle terhadap bekas pemain sayap The Gunners ini mula menjadi bualan setelah laporan mendedahkan bahawa kelab yang kini dimiliki konsortium kaya Arab Saudi berminat mendapatkan khidmatnya selaku Pengarah Bolasepak.